03 April 2015

Artikel Menarik April (2015) - Pekan Bunol bertukar merah


SEORANG wanita meluncurkan badan pada sisa buah tomato yang telah dibaling oleh peserta lain.



ACARA membaling tomato yang berlangsung di Bunol, Valencia, Sepanyol bukan perayaan baharu yang diraikan rakyat di negara itu. Ini kerana sejak pertama kali diadakan pada tahun 1944, acara ‘perang tomato’ itu sudah pun mendapat sambutan.
Terdapat cakap-cakap masyarakat di kawasan itu yang mengatakan festival buah tomato atau La Tomatina bermula selepas sekumpulan pengunjung bergaduh dengan membaling buah tersebut.
Kisahnya, terdapat seorang remaja lelaki yang menjadi peserta dalam perayaan Giants and Big-Heads telah dirasuk sehingga menimbulkan kekeceohan. Rasukan itu telah membuatkannya terbang ke udara lalu merempuh gerai buah-buahan dan melanggar beberapa pengunjung lain.
Ekoran peristiwa tersebut, ada di antara pengunjung membaling buah serta sayur-sayuran seperti tomato kepada remaja itu dan tanpa diduga lelaki itu terus berhenti daripada meracau.
Pada tahun berikutnya, ada yang membawa tomato dari rumah untuk membaling buah berkenaan kepada peserta sebagai langkah berjaga-jaga jika perkara sama berulang. Mereka mempercayai membaling tomato dapat menghentikan rasukan.
Walaupun begitu, sehingga ke hari ini belum ada mana-mana orang yang tahu tentang bagaimana La Tomatina boleh menjadi sebuah festival terbesar.
Apa yang pasti, ia seakan-akan menjadi satu tradisi yang semakin popular kerana setiap kali acara itu berlangsung pada setiap hari Rabu terakhir dalam bulan Ogos, ia mampu menarik 30,000 hingga 40,000 pengunjung pada satu-satu masa.
Sisa tomato

PEKAN Bunol yang menjadi tempat karnival La Tomatina berlangsung.


Kebanyakan pelancong yang datang ke festival itu akan terlibat secara langsung kerana walaupun tidak mahu menyertai acara tersebut, pada akhirnya mereka juga akan turut terkena tempias daripada sisa tomato itu.
Festival itu lazimnya bermula pada pukul 11 pagi. Ia dimulakan dengan tembakan meriam dan selepas itu orang ramai perlu berlumba-lumba memanjat tiang yang disapu pelincir untuk mengambil arak yang digantung pada hujung tiang tersebut.
Sesiapa yang dapat mencapai arak itu terlebih dahulu akan diberi peluang untuk memulakan perang tersebut dengan membaling tomato kepada pengunjung secara rawak.
Sepanjang festival itu berlangsung dalam tempoh tiga jam, masing-masing akan membaling dan melumurkan tomato pada keluarga, kawan-kawan atau pihak lain yang turut sama menyertai acara berkenaan.
Dalam masa setengah jam sahaja, suasana jalan raya dan bangunan di sekitar Bunol akan bertukar menjadi warna merah akibat percikan tomato yang dibaling peserta.
Selepas tempoh yang ditetapkan tamat, bunyi tembakan meriam akan ke udara menandakan peserta perlu berhenti daripada membaling tomato.
Peserta akan mengakhiri pesta dengan terjun ke dalam sungai berdekatan untuk membersihkan badan, manakala pihak bomba pula akan membersihkan jalan raya dan bangunan kotor hasil daripada kesan tempelan buah itu.
Baju putih
PARA peserta akan membaling dan melumur tomato pada keluarga serta kawan-kawan yang menyertai acara berkenaan.


Menurut ahli Majlis Perbandaran Bunol, Pilar Garrigues berkata, tidak dinafikan festival itu merupakan pesta musim panas yang paling popular di Sepanyol sehingga ia turut menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia termasuk Britain, Perancis, Jerman, Jepun dan Australia.
Katanya, walaupun amalan itu dilakukan pada setiap tahun, namun majlis perbandaran tidak pernah lupa untuk menyampaikan pesanan kepada semua pengunjung yang hadir pada hari tersebut.
“Para peserta biasanya digalakkan memakai perlindungan seperti gogal dan sarung tangan sebagai langkah keselamatan, selain dikehendaki melumatkan dulu buah tomato sebelum dibaling bagi mengelakkan kecederaan.
“Mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” katanya sambil memberitahu peserta digalakkan untuk memakai baju berwarna putih untuk melihat kesan balingan tomato dengan lebih ketara.
Dalam pada itu, festival La Tomatina pernah diharamkan seketika pada tahun 1970 akibat dikecam kerana ia disifatkan sebagai suatu pembaziran.

RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3WCrtXvFa 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan