16 April 2015

Artikel Menarik April (2015) - Pasaran pelayan tetamu dari China


Pelajar dilatih di sebuah vila yang telah ditinggalkan sebelum berkhidmat di rumah-rumah golongan jutawan China.


KITA sering berasa teruja tatkala melihat filem Barat yang mempunyai pembantu memakai tuksedo dan bersarung tangan putih.
Kelihatan seperti satu pekerjaan yang mudah tetapi hakikatnya banyak yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang pelayan tetamu atau butler yang cekap.
Alvin Hu perlu mengharungi pelbagai cabaran dalam memenuhi impiannya menjadi butler.
Alvin telah melanjutkan pelajarannya di Akademi Butler Antarabangsa, Chengdu, China satu-satunya sekolah pelayan tetamu yang dibuka tahun lalu.
Setiap pelajar butler lengkap berpakaian sut dan mempraktikkan bayaran tip. Konsep yang sama dilakukan di negara-negara Eropah.
Mereka dilatih melakukan tugasan mudah seperti menggosok alas meja, mengilat barang bertatah perak dan menyusun set kutleri seperti pisau, sudu dan garpu di meja bankuet.
“Golongan jutawan kian bertambah di China jadi, mereka memerlukan seseorang yang boleh membantu melaksanakan tugasan harian mereka,” kata Alvin.
Kos pengajian bagi setiap pelajar di akademi tersebut ialah AS$6,500 (RM23,835) selama enam minggu.
Pada peringkat awal, Alvin diajar membawa dulang yang diisi makanan palsu berbentuk mainan kepada tenaga pengajarnya sebagai mod latihan.
Konsep butler
Pendapat seorang butler agak lumayan. Butler yang berkaliber mampu menjana pendapatan sebanyak AS$3,200 (RM11,856) sebulan.
Konsep butler diperkenalkan di Britain dan sejak itu ia berkembang sehinggalah diperkenalkan di China.
“Permintaan terhadap pelayan tetamu semakin meningkat. Secara tidak langsung, menjadikan butler sebagai pekerjaan yang bagus.
“Mengajar warga China mengenai konsep butler lebih mudah berbanding butler Barat mengenai adat kaum China,” ujar pengetua akademi, Thomas Kaufmann.
Kaufmann memberitahu, rancangan popular Britain mengenai butler, Downtown Abbey sangat terkenal di China malah pihak akademi mahu pelajar menjadi butler itu, Carson.
Di sekitar kawasan Chengdu, terdapat satu papan iklan hartanah menunjukkan seorang lelaki memakai sut serta slogan, ‘perkhidmatan butler disediakan untuk keperluan harian anda’.
Pu Yan, seorang wakil dari Agensi Hartanah Langji memberitahu, mereka menyediakan perkhidmatan butler di setiap vila untuk kepuasan pelanggan.
“Jualan rumah semakin sukar jadi syarikat telah membuat keputusan untuk menawarkan perkhidmatan butler kepada penduduk.
“Secara tidak langsung, ia meningkatkan permintaan perkhidmatan,” kata Kaufmann.
Namun begitu, segelintir pemaju hartanah bertindak menggunakan butler untuk mengaut keuntungan perniagaan dan lenyap selepas waktu bekerja.
Sementara itu, akademi tersebut menggunakan sebuah vila yang lama ditinggalkan untuk membiasakan pelajar dengan suasana bekerja di rumah mewah.
Kelas bermula dengan kerja-kerja pembersihan setiap pagi. Jika tugas tidak dilakukan dengan betul, ia dianggap gagal.
Pelajar-pelajar juga perlu menggunakan pembaris untuk mengukur jarak set kutleri dengan betul.
Salah seorang pelajar, Chrissy Yan berkata, butler bukan lagi pekerjaan untuk lelaki.
“Latihan yang diberikan sangat susah terutamanya bab menguruskan meja. Namun, saya tidak akan berputus asa.
“Saya ingin menjadi ketua dalam pasukan butler dan menjadi terkenal seluruh dunia,” katanya yang mempunyai impian untuk mengelilingi dunia.
Selepas tamat pengajian, mereka perlu melakukan tugasan yang lebih mencabar seperti membeli barangan runcit, membawa anjing bersiar, mengilatkan perabot berkulit dan kasut.
Alvin juga telah melakukan pelbagai tugasan seperti membersihkan bekas cap jari pada telefon bimbit tuannya.
“Pekerjaan ini susah kerana anda perlu berfikir dan bertanggungjawab untuk menjaga semua perkara,” katanya.
Alvin menegaskan, melayan golongan kaya-raya memberikan kepuasan kepadanya malah mempercayai bahawa sijil yang diperoleh daripada akademi itu dapat membawanya pergi jauh.
“Kini, butler bukan sahaja melayan golongan kaya-raya bahkan orang-orang yang berjaya. Saya berasa gembira apabila dapat menenangkan hati mereka dan membuatkan mereka relaks,” jelasnya. – AFP


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0416&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3XR3AdHtZ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan