21 April 2015

Artikel Menarik April (2015) - Gaya tulisan serlahkan personaliti

Setiap orang mempunyai gaya tulisan berbeza-beza meskipun mereka adalah adik-beradik kembar
.


SIKAP dan perwatakan seseorang mempunyai sisi yang berbeza-beza dan sering berubah tanpa mengira waktu. Begitu juga dengan gaya tulisan seseorang yang sentiasa berubah mengikut mood. Kadang-kadang, kita cenderung melakar lukisan-lukisan ringan seperti menconteng ketika menulis nota mesyuarat untuk mengelakkan kebosanan.
Sasterawan terkenal Barat, William Shakespeare pernah berkata: “Berikan aku contoh tulisan seorang wanita dan aku akan menceritakan keperibadiannya”.
Penulis buku berjudul, Tulisan Cerminan Personaliti Diri, Khadijah Ibrahim pula berkata, tulisan tangan merupakan tulisan otak.
Khadijah yang juga seorang pakar analisis tulisan menjelaskan dalam bukunya, analisis tersebut menerangkan tentang sifat dan keperibadian seseorang mengikut bentuk-bentuk huruf dalam tulisannya.
“Namun, kita tidak boleh menganalisis secara menyeluruh misalnya individu yang memiliki tulisan comot dikatakan mempunyai sifat peribadi yang teruk.
“Analisis seperti itu tidak tepat kerana tulisan comot tidak menggambarkan seseorang itu teruk,” kata Pengasas Akademi Grafologi Malaysia (AGM), Dr. Hanida Haron, 42.
Hanida yang juga merupakan seorang penganalisis tulisan bertauliah memberitahu, setiap gaya tulisan mempunyai makna tersendiri.
Grafologi merupakan satu kajian tentang tulisan tangan seseorang, terutamanya menganalisis atau mengenali keperibadian orang itu. Ia juga merupakan kajian tentang sistem-sistem tulisan.
Pada pandangan mata kasar, orang akan menilai gaya tulisan tangan seseorang secara rawak. Contohnya, individu dikatakan mempunyai sifat panas baran kerana gaya tulisannya yang seakan-akan tajam.
“Hakikatnya, gaya tulisan seseorang berbeza-beza mengikut suasana dan mood individu. Menurut kajian, tulisan kita mampu berubah sebanyak dua atau tiga kali sehari,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di AGM, Bangi, Selangor baru-baru ini.
Menganalisis tulisan tangan seseorang bukan sesuatu perkara yang mudah kerana ada beberapa aspek yang perlu dilihat dan dinilai secara terperinci.
Antara aspek penting yang perlu dilihat ketika menganalisis ialah bentuk huruf-huruf kecil seperti t, d, m, n, p, j dan y di samping merasai tahap tekanan tulisan di belakang kertas.
Hanida menjelaskan, semakin dalam tahap tekanan tulisan seseorang individu itu, semakin dalam emosinya. Contohnya, individu yang sedang marah mempunyai kecenderungan untuk menekan tulisannya dan ia boleh dirasai di belakang kertas.
Bagi mereka yang mempunyai tulisan bersambung atau kursif, secara umumnya, seseorang itu gemar menayangkan emosi secara terang-terangan.
Bagi menganalisis tulisan seseorang, Hanida akan memberikan kertas kosong bersaiz A4 dan pen bermata bulat. Analisis di atas kertas kosong adalah lebih tepat.
Makna
Tugas seorang grafologi tidak semudah yang disangka dan ia memakan masa yang lama.




“Analisis tulisan tangan tidak hanya ke atas tulisan itu tetapi titik permulaan tulisan individu juga mempunyai makna misalnya penggunaan margin kertas.
“Di samping itu, penganalisis juga akan melihat kecondongan tulisan individu itu. Mereka yang mempunyai tulisan meningkat dikatakan mempunyai perwatakan positif dalam hidup,” katanya sambil berdemonstrasi.
Salah satu contoh tulisan pemimpin terkenal ialah Tony Blair yan merupakan mantan Perdana Menteri Britain.
Berdasarkan grafologi yang dilakukan oleh Khadijah dalam bukunya, Blair merupakan seorang yang dominan, praktikal dan suka memimpin.
Di samping itu, beliau membuat keputusan secara logik, wajar dan tidak menunjukkan emosi secara terang-terangan.
Berbanding pula dengan gaya tulisan penyajak Amerika Syarikat terkenal, Edgar Allan Poe.
Walaupun tulisan Poe tersusun rapi, hakikatnya beliau merupakan seorang yang sangat beremosi kerana kecondongan tulisannya lebih ke kanan.
Menariknya, kajian mengenai tulisan tangan mempunyai banyak kegunaan dan ia bukan sahaja terikat untuk menilai personaliti seseorang.
Ia juga digunakan untuk mengenal pasti sama ada seseorang individu itu sesuai dengan pekerjaan yang dipilih. Di Barat, badan-badan korporat telah lama menggunakan teori tulisan sebelum mengambil seseorang bekerja.
Analisis tulisan juga digunakan untuk mengenalpasti kejujuran seseorang individu.
Selain personaliti diri tulisan dapat mengenal pasti penyakit yang dihidapi contohnya skizofrenia atau sakit jantung melalui tiga zon dalam istilah grafologi.
Ketiga-tiga zon itu berkait rapat dengan tubuh badan manusia. Zon atas melibatkan perkara berkaitan dari kepala ke dada. Zon tengah pula dari dada ke pinggang dan zon bawah ialah pinggang ke kaki.
Namun, ia memerlukan analisis yang terperinci dan pakar perlu melihat tulisan-tulisannya yang terdahulu di samping membuat perbandingan tulisan.
Menurut kajian, gaya tulisan seseorang itu akan kekal apabila individu mencapai umur dalam lingkungan 20 tahun ke atas.
Pada zaman kanak-kanak, individu masih lagi mencari gaya tulisan yang sesuai di samping meniru tulisan rakan-rakan atau ibu bapa.
Zaman tersebut sesuai untuk mendidik anak-anak menulis huruf dengan betul seperti mengikut titik-titik penyambung berbentuk huruf.
Pada awalnya, buku analisis tulisan telah ditulis oleh seorang profesor dalam bidang perubatan dan falsafah, Camillo Baldi di Florence, Itali pada tahun 1622.
Sejak itu, ramai ahli-ahli perubatan, falsafah dan psikologi mempelajari lebih mendalam tentang ilmu tulisan tangan untuk mengenali personaliti manusia. Kini, gaya tulisan seseorang juga digunakan sebagai salah satu terapi kaunseling.
Pelbagai aspek perlu dilihat dalam menilai tulisan tangan seseorang seperti kecondongan.


Selain itu, Akademi Grafologi Malaysia mula ditubuhkan pada tahun 2012 di samping merupakan satu-satunya akademi di negara ini.
Terdapat pelbagai bengkel dan seminar yang diadakan di Malaysia yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai gaya tulisan.
Bengkel mingguan mengenai grafologi secara umum diadakan pada setiap Jumaat dan yuran dikenakan ialah RM150 selama tiga jam.
Selain itu, yuran bengkel tersebut adalah berbeza-beza mengikut topik.
Rata-rata peserta yang menghadiri bengkel tersebut merangkumi ibu bapa, guru sekolah, pekerja korporat malah pasangan pengantin.
“Ada juga peserta yang mempunyai masalah rumah tangga. Jadi mereka ingin mengkaji tulisan pasangan di samping membantu memahami personaliti masing-masing,” jelas Hanida.
Tugas sebagai seorang grafologi tidak mudah kerana mereka juga memerlukan latihan rapi yang memakan masa bertahun-tahun iaitu sama seperti mempelajari sesuatu bahasa.
Setakat ini, terdapat kira-kira 30 orang grafologi bertauliah dari seluruh negara.
Pakar grafologi akan dinilai sebelum mendapat sijil tauliah dan salah seorang tokoh grafologi terkenal ialah Dr. Erika Karohs yang menceburkan diri dalam kajian tulisan lebih tiga dekad.
Beliau juga telah menubuhkan Sekolah Analisis Tulisan Antarabangsa Karohs di Califronia, Amerika Syarikat.
Antara peralatan yang digunakan ketika menganalisis tulisan tangan ialah set-set pengukur geometrik, pembaris, pensel dan kanta pembesar.
Pengurus AGM, Aina Amalia Anuar, 20, merupakan anak perempuan kepada Hanida juga seorang pakar grafologi bertauliah.
“Saya minat untuk mempelajari tulisan tangan kerana ia seperti mempelajari bahasa malah berhubung kait antara satu sama lain.
“Di samping itu, saya juga dapat mempelajari perwatakan seseorang menerusi gaya tulisan,” ujarnya yang memasang cita-cita untuk menjadi pakar grafologi seperti ibunya.
Perwatakan
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmin 2, Kajang, Ariyati Kandak, 55, pernah menghadiri seminar dan bengkel yang dianjurkan oleh AGM.
“Ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Banyak perkara baharu saya pelajari dalam seminar itu,” katanya yang menghadiri bengkel untuk guru-guru di sekolahnya pada tahun lalu.
Ariyati yang mempunyai tujuh orang anak memberitahu, dia juga meminta Hanida untuk menganalisis tulisan anak-anaknya.
“Saya minta pandangannya mengenai perwatakan anak-anak. Jadi, saya cuba ikut apa yang diajar seperti meninggikan palang huruf T.
“Secara tidak langsung, keperibadian anak-anak saya bertambah baik. Syukur Alhamdulillah,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


Rujukan : http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3Xu9xJZTE 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan