Kemusnahan akibat banjir di Kelantan adalah sangat besar. Ia dianggarkan berjumlah hampir 1 bilion (RM932.4 juta). Justeru, pemulihan kesan bencana alam itu terutama di Kuala Krai dan Gua Musang memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat.
Sebagai kerajaan yang prihatin dan berpegang kepada semangat persekutuan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perbincangan tertutup dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kelmarin bagi mencari jalan membantu pemulihan pasca banjir.
Hasil daripada perbincangan itu, Kerajaan Pusat dan kerajaan PAS Kelantan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pascabanjir Peringkat Negeri. Usaha murni Kerajaan Pusat itu sangat besar maknanya terutama dalam usaha membangunkan semula negeri itu. Jawatankuasa yang akan dipengerusikan bersama oleh Ahmad dan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu akan mengkaji semua aspek pembangunan di negeri itu selepas musnah dilanda malapetaka banjir baru-baru ini.
Pulih kehidupan rakyat
Rakyat Kelantan tentu mengalu-alukan jalinan kerjasama itu kerana tumpuan utama untuk memulihkan kehidupan rakyat yang menjadi mangsa banjir luar biasa. Mengikut Muhyiddin, langkah pertama yang akan dilakukan adalah memastikan semua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing.
Pastinya masalah yang dihadapi 2,660 isi rumah yang kediaman mereka musnah sama sekali akan diberi keutamaan seperti disebut Muhyiddin bahawa fokus jawatankuasa itu ialah memastikan semua mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah atau rosak teruk mempunyai tempat berlindung buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan.
Antara alternatif yang disarankan oleh Menteri Besar Kelantan sendiri ialah mencari rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan untuk penempatan sementara mangsa banjir sementara menunggu projek rumah sementara siap. Bagi mangsa yang kehilangan rumah, tetapi masih mempunyai tapak, kerajaan akan menimbang membina semula rumah mereka.
Langkah lain ialah memberi bantuan ihsan kepada mangsa banjir supaya mereka dapat memulakan kehidupan selepas sudah lama tidak ada pendapatan sepanjang tempoh banjir. Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan bekalan makanan kering seperti beras, gula, susu dan lain-lain untuk menampung tempoh tiga hari selepas mangsa kembali ke rumah yang akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sebelum ini Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera RM50 juta untuk negeri dilanda banjir. Ia bagi membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat di negeri berkenaan, terutama di Kelantan yang mengalami banjir luar biasa.
Rakyat prihatin, simpati
Pada masa sama, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik terus menghulur sumbangan melalui badan bukan kerajaan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan. Sumbangan dan pembabitan syarikat swasta dan badan korporat juga sangat membantu. Apa yang penting ialah penyelarasan menyampaikan bantuan itu perlu berkesan dan agihannya sampai sama rata kepada mangsa dengan tumpuan lebih kepada kawasan yang paling teruk terjejas.
Ada beberapa perkara penting lain yang harus diberi keutamaan segera oleh jawatankuasa terbabit seperti pemulihan perkhidmatan bekalan air paip dan perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur. Walaupun Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menjangkakan pemulihan mengambil masa setahun, ramai yang mengharapkan ia dipulihkan lebih awal, sekurang-kurangnya sebelum menjelang Aidilfitri kerana pengangkutan kereta api menjadi alternatif penting anak negeri Kelantan untuk pulang beraya di kampung masing-masing.
Hakikatnya, banjir luar biasa yang melanda negeri itu turut memperlihatkan hikmahnya, iaitu kita perlu bersatu menguruskan keadaan yang dihadapi. Kerajaan negeri harus terus memberi komitmen untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat demi kebajikan rakyat Kelantan. Malah, ramai yang mengharapkan ia menjadi landasan penyatuan rakyat negeri Kelantan.
Pemikiran politik kepartian tidak harus menjadi penghalang kepada kerjasama murni itu. Kita mengharapkan pemimpin politik di negeri itu lebih terbuka dan bersatu untuk memulihkan keadaan. Yang penting lihatlah hikmah di sebalik bencana itu. Mungkin selepas ini pemulihan kawasan dilanda banjir teruk akan mengalami pemulihan lebih baik dari sebelumnya, manakala mangsa banjir pula akan mendapat sesuatu yang lebih baik bagi menggantikan apa yang mereka hilang.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/28043
|
14 Januari 2015
Artikel Menarik (Januari 2015) - Hikmah banjir luar biasa di Kelantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan