08 Disember 2014

Artikel Menarik November (2014) - 3 Ciri Cemerlang Orang Positif







1. Semakin Tercabar, Semakin Kuat

Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!


Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam "exhaust pipe", semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! 

2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan

Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dalam kegawatan!
Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk membina satu penghidupan baru di sana. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun.
Lepas Perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang sangat teruk; banyak syarikat muflis; ramai orang yang jadi miskin dan papa, malah, ramai juga orang yang hilang harapan. Tetapi, Onassis tidak membiarkan dirinya menjadi gagal. Ia tekad mencari peluang dalam kekemelutan itu. Beliau telah nampak suatu peluang. Onassis sedar yang tentera-tentera Amerika Syarikat sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang; kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Dia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika Syarikat itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal tersebut sudah boleh digunakan bagi mengangkut barang-barang dagangan.
Onassis yang positif telah dapat melihat peluang dalam kegawatan, manakala, orang lain yang negatif lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.

3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh

Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah: kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.
Sesuai dengan kata-kata nasihat Paul Getty, seorang bilionaire Amerika bahawa untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, seseorang itu hendaklah membuat dua perkara ini:
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR. 
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN.

 Rujukan : http://www.ugmc.bizland.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan