18 Ogos 2014

Artikel Menarik (Ogos 2014) - Tengkolok Warisan Melayu




Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar shiddieqiin

TENGKOLOK, tanjak, atau destar, biar apapun nama yang diberi, ketiga-tiganya merujuk kepada kain ikat kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki.
Merupakan pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu sejak berkurun la.manya, tengkolok adalah warisan yang mencerminkan simbol kemuliaan dan masih diguna pakai sehingga hari ini.

Walaupun ia bukanlah aksesori yang dipakai secara harian oleh golongan lelaki Melayu hari ini, tetapi ia masih mempunyai kedudukan yang tinggi terutamanya dalam adat istiadat diraja.

Lazimnya, tengkolok dipakai bersama baju Melayu yang dilengkapi kain samping, keris, dan capal, malah aksesori kepala ini juga dipakai mengikut aturannya sendiri.

Jika dahulu tengkolok digunakan sebagai senjata dan alat pelindung diri bagi kebanyakan orang (untuk melibas bagi mengelak hunusan senjata ketika bertarung), hari ini selain dipakai dalam majlis-majlis rasmi atau kebesaran, ia juga dipakai sebagai perhiasan dalam busana pengantin.

Uniknya, seni pembuatan tengkolok dari setiap negeri adalah berbeza dan ia mempunyai nama-nama khas bagi membezakan setiap rekaan.

Malah ketika bertemu dengan pembuat tengkolok di ibu kota baru-baru ini, ternyata terlalu banyak informasi yang tidak diketahui berkaitan dengan tengkolok.
Tidak hanya mempunyai pelbagai reka bentuk, tengkolok yang dihasilkan turut mempunyai nama masing-masing mengikut negeri.
Menurut Kasman Yahya, 53, tidak semua orang, malah sekarang tidak ramai yang boleh membuat tengkolok, kerana ia memerlukan kemahiran walaupun pada dasarnya dilihat begitu mudah untuk membentuknya.

Tambahnya, tanpa kemahiran, tengkolok yang ingin dihasilkan tidak akan menjadi.
“Untuk menghasilkan satu-satu tengkolok bukanlah tugasan mudah kerana kemahiran amat diperlukan untuk membentuk jenis-jenisnya.

“Penghasilannya juga perlulah dilakukan secara berhati-hati kerana tengkolok mempunyai seninya tersendiri dan setiap pembuatannya perlu menitikberatkan beberapa syarat. 

“Antaranya, sebelah belakang tengkolok mestilah mempunyai secebis kain yang tegak atau disimpul ke atas.
“Apa yang pasti, hari ini tidak ramai generasi muda yang tahu mengubah tengkolok apatah lagi untuk mempelajari membuatnya," ujar Kasman ketika ditemui di kedai jahitnya, Kas Tailor yang terletak di Wisma Yakin, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai cara gubahannya, jelas Kasman, ia bukanlah sekadar lipatan dan seni mengikat tanjak atau tengkolok juga tidak dilakukan sembarangan, sebaliknya turut dihasilkan mengikut kesesuaian sifat si pemakai.

Katanya, kebiasaannya, tengkolok digubah berdasarkan empat prinsip utama iaitu duka, tegas, megah, dan garang.

Malah terdapat juga gubahan yang direka untuk menaikkan watak berdasarkan permintaan si pemakai.
Menurut Kasman, proses pembuatan tengkolok ini sebenarnya mengambil masa sekurang-kurangnya satu hari untuk disiapkan dengan sempurna.

Bagaimanapun, sekiranya ada berlaku peristiwa-peristiwa tertentu seperti kemangkatan kerabat diraja, pihaknya berupaya menyiapkan tengkolok dalam masa kurang 24 jam.

Berbicara lebih lanjut mengenai penglibatannya dalam pembuatan tengkolok ini, tutur bapa kepada tujuh orang cahaya mata ini, dia mempelajarinya daripada bapa saudara yang juga merupakan seorang pembuat tengkolok.

Begitupun katanya, bukan mudah untuk belajar kerana tidak semua ilmu diperturunkan kepadanya.
Namun, dek kerana minat yang mendalam, dia curi-curi melihat bagaimana bapa saudaranya membuat tengkolok dan kadang kala belajar sendiri dengan membuka satu persatu ikatan yang telah terhasil lalu melipatnya semula sehingga mahir.

Lebih daripada 30 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Kasman turut mendedahkan mood turut memainkan peranan penting dalam penggubahan tengkolok kerana ia akan menjadikannya lebih fokus.
Bercakap pula mengenai jenis fabrik yang digunakan, Kasman berkata, kebiasaannya ia dibuat daripada kain songket tetapi pada dasarnya apa juga jenis kain boleh digunakan.

“Sebenarnya tengkolok yang dihasilkan lebih cantik sekiranya daripada songket, tetapi terserah kepada si pemakai untuk menggunakan fabrik jenis apa.

“Malah tengkolok hari ini boleh dihasilkan mengikut reka bentuk serta cita rasa si pemakai itu sendiri dan ia boleh dipelbagaikan berdasarkan kreativiti," katanya lagi.

Menggunakan kain bersaiz 32 x 32 inci, Kasman menambah, kain tersebut akan dialas terlebih dahulu dengan kertas coklat sebelum ia dilipat menjadi bentuk segi tiga.

Penggunaan kertas coklat bertujuan sebagai alat sokongan supaya lipatan tengkolok ini menjadi lebih kukuh.
Seterusnya kain yang berbentuk segi tiga ini akan dijahit tepi sebelum ia digubah menjadi tengkolok.

Menghasilkan sehingga 20 tengkolok setiap bulan, Kasman berkata, harga satu-satu tengkolok mampu mencecah hingga ribuan ringgit dan ia bergantung kepada kualiti kain songket yang dipilih.

Mengikut kepercayaan, rekaan tengkolok biasanya berkait rapat dengan status si pemakai dan rakyat tidak boleh memakai bentuk tengkolok yang sama dengan bentuk tengkolok raja atau sultan.

Mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, usaha-usaha mempergiat seni pembuatan alat tradisional sebegini perlu diperluas agar warisan bernilai ini tidak hilang ditelan zaman.

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan