Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Buah durian sememangnya terkenal sejak dari dulu lagi dan digelar sebagai raja buah di negara ini.
Keenakan isinya yang lemak manis menjadi kegilaan peminat buah ini.
Namun untuk mendapatkannya, perlu ada kemahiran membuka atau mengopek buah tersebut kerana jika tersilap langkah pasti membahayakan.
Jika di kampung, parang merupakan antara alatan yang digunakan untuk membuka si raja buah, namun tidak semua dalam kalangan peminatnya memiliki kemahiran menggunakan parang untuk membukanya.
Apatah lagi bagi mereka yang baru berjinak-jinak untuk merasai keenakan isi buah durian seperti pelancong dari luar negara.
Bagi mengatasi masalah tersebut, seorang pegawai penyelidik dari Pusat Penyelidik Mekanisasi dan Automasi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Wan Mohd. Fariz Wan Azman berjaya mencipta dua alatan khas untuk memudahkan pengguna membuka buah tersebut.
Di kenali sebagai Pembuka Durian Mudah Alih Aras Meja dan Peranti Kecil Pembuka Durian, kedua-dua alatan tersebut mula dihasilkan pada awal tahun tahun lalu .
Ujar Wan Mohd. Fariz, niat asal penghasilan alatan tersebut adalah untuk membantu golongan usahawan industri kecil sederhana (IKS) dalam penghasilan produk berasaskan durian.
"Seperti yang kita ketahui teknologi membuka buah durian telah lama ada namun teknologi tersebut kurang mendapat sambutan kerana pelbagai faktor."
"Setelah kajian dilakukan, saya mendapati industri buah durian secara puratanya banyak diusahakan pengusaha IKS yang tidak memiliki modal yang besar."
"Justeru, mereka memerlukan alatan dengan kos yang rendah dan praktikal untuk digunakan sesuai dengan keadaan perniagaan mereka yang agak kecil," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah Wan Mohd. Fariz, penggunaan alatan atau teknologi yang tinggi dan mahal adalah sangat-sangat tidak sesuai.
"Menerusi dua alatan yang ringkas ini, masalah untuk membuka buah durian yang sering dihadapi dapat diatasi," katanya.
Produk yang pertama fokus kepada aspek keselamatan iaitu tiada sebarang alatan yang tajam seperti parang mahupun pisau digunakan.
Malah, pembuka yang bersentuhan dengan buah adalah merupakan plastik tahan lasak berbentuk tirus.
Rekaan mekanikal tersebut juga tidak memerlukan tenaga yang banyak malah golongan wanita juga boleh menggunakannya dengan mudah.
Tambah Wan Mohd. Fariz, jika diperhatikan, kebanyakan kilang atau premis menghasilkan produk berasaskan durian, di bahagian pemprosesan iaitu membuka buah sering didominasi oleh golongan lelaki kerana faktor keselamatan dan juga tenaga yang diperlukan.
"Selain lebih mudah, alatan ini juga dapat membuka durian tanpa menjejaskan keadaan isi di dalamnya berbanding kaedah konvensional dengan menggunakan parang," katanya.
Bagi peralatan yang kedua, ia sengaja direka dengan saiz yang lebih kecil, mudah untuk dilipat dan disimpan serta boleh dibawa ke mana-mana sahaja.
Jelas Wan Mohd. Fariz, tujuan penciptaan alatan kedua tersebut adalah untuk kegunaan suri rumah dan pekebun kecil serta individu.
"Kita mengambil kira faktor mudah alih yang utama, kerana kebiasaannya peminat durian lebih suka jika membeli buah dan menikmatinya di rumah."
"Malah, jika di kampung-kampung pokok durian di sekeliling rumah untuk tujuan di makan sendiri, jadi alatan kedua ini saya sasarkan kepada peminat durian daripada golongan suri rumah dan orang awam (bukan pengusaha IKS)," katanya.
Pembuka Durian Mudah Alih Aras Meja mampu membuka durian sekitar 300 hingga 350 biji sejam dengan kos penghasilannya cuma RM350.
Bagi Peranti Kecil Pembuka Durian mampu membuka hampir 250 hingga 300 biji buah durian satu jam dengan kos hanya RM250.
Untuk menghasilkan prototaip Pembuka Durian Mudah Alih Aras Meja dan Peranti Kecil Pembuka Durian, Wan Mohd. Fariz mengambil masa selama setahun untuk mengkaji kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada kedua -dua alatan tersebut.
Kini kedua-dua alatan tersebut telah dipatenkan dan dalam peringkat promosi dan pra pengkomersialan bakal dilaksanakan pada hujung tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan