23 Jun 2014

Artikel Menarik (Jun 2014) - Bola Sepak




Apa Itu Bola sepak

Bola sepak ialah sukan sepasukan yang paling banyak dimainkan dan ditonton di dunia, yang dimainkan oleh dua pasukan yang mana tiap - tiap pasukan terdiri daripada 11 orang pemain. Sebelum abad ke-21, sukan ini telah dimainkan oleh lebih daripada 250 juta orang di 200 negara, yang menjadikannya sebagai sukan paling popular di dunia. Bola sepak bertujuan untuk menjaringkan gol sebanyak-banyaknya dengan menggunakan bola kulit ke gol lawan. Bola sepak dimainkan di dalam padang yang berbentuk segi empat tepat, di atas rumput atau rumput sintetik. Badan pentadbiran dunia bola sepak ialah FIFA, atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (bahasa Inggeris : Federation International Football Association, bahasa Perancis : Fédération Internationale de Football Association).

Pada awamnya, hanya penjaga gol sahaja yang dibenarkan menyentuh bola dengan tangan di dalam wilayah golnya. Manakala, 10 (sepuluh) pemain lainnya hanya diizinkan untuk menggunakan semua bahagian badannya selain daripada tangan, biasanya dengan kaki untuk menyepak, dada untuk mengawal, dan kepala untuk menanduk bola. Pasukan yang menjaringkan gol lebih banyak pada akhir perlawanan ialah pemenangnya. Jika sehingga masa berakhir masih berakhir seri, maka boleh dilakukan undian, pembaharuan masa ataupun tendangan penalti, bergantung daripada format penganjuran kejohanan.

Undang-undang perlawanan pada awamnya dikemaskini setiap tahun oleh induk pertubuhan bola sepak antarabangsa (FIFA), yang juga menganjurkan Piala Dunia FIFA setiap-tiap 4 (empat) tahun sekali.


Sejarah Bola Sepak

Menurut FIFA, permainan-permainan yang mempunyai ciri-ciri bola sepak telah wujud di negeri China sejak abad ke-3 SM. Berbagai-bagai jenis permainan bola juga telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah.

Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah United Kingdom (yang mempunyai cara permainan yang berbeza mengikut sekolah) menjadi lebih popular. Lantaran itu, cara permainannya juga lebih teratur. Undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan yang berbeza-beza itu dan memudahkan pemain-pemain. Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak. Persatuan ini berjaya menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi Undang-undang Bola Sepak hari ini.

Kini, urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Segala pemindaan Undang-undang Bola Sepak perlu diluluskan oleh Lembaga melalui undian majoriti.

Populariti bola sepak telah meningkat terutamanya pada abad ke-20. Kini, bola sepak menjadi satu industri yang lumayan melalui pendapatan hak siaran televisyen dan penjualan tiket di stadium-stadium. Permainan ini dimainkan pada peringkat profesional  di seluruh dunia. Berjuta-juta peminat biasanya pergi ke stadium bola sepak untuk mengikut pasukan pilihan mereka, manakala berbilion-bilion pula melihat perlawanan bola sepak di televisyen. Sebilangan besar pemain juga bermain bola sepak pada peringkat amatur.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA), badan pentadbir bola sepak, yang diterbitkan dalam musim bunga 2001, lebih daripada 240 juta orang biasanya bermain bola sepak dalam lebih daripada 200 negara di seluruh pelusuk dunia. Peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang minimum tidak syak lagi menolong penyebaran dan tumbesaran dalam popularitinya.


Sumber dari : http://ms.wikipedia.org/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan