25 Mei 2023

Artikel Menarik : Ambil tindakan tegas elak warga asing 'jajah' sektor pertanian

 

Malaysia ketika ini belum mampu menangani sepenuhnya isu pembabitan warga asing dalam aktiviti perniagaan. Bagaimanapun kini kita dihadapkan pula satu lagi senario membabitkan warga asing iaitu pembabitan mereka dalam mengusahakan kebun sayur sendiri.

Perkara ini sudah beberapa kali mendapat liputan eksklusif akhbar tempatan. Sebagai contoh pendedahan akhbar BH pada tahun 2019 mengenai aktiviti pekebun sayur warga asing menceroboh tanah secara haram di Bukit Beruntung. Berita terbaharu mengenai hal yang sama didedahkan pula pada awal Mei lalu yang berlaku di Pulau Meranti, Puchong.

Kesalahan sebegini sudah terang lagi bersuluh tapi sayangnya meskipun mendapat perhatian dan liputan media, ia seakan-akan isu yang tidak berkesudahan.

Warga asing yang terbabit dengan kegiatan ini umumnya datang dari Bangladesh dan Indonesia. Mereka bukan setakat menceroboh tanah secara haram tetapi sebahagiannya didapati menyewa tanah milik rakyat tempatan.

Jika pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pertanian dibenarkan menyewa tanah tanpa sekatan maka dikhuatiri sektor
pertanian yang menjadi sumber bekalan makanan rakyat Malaysia akan dikuasai warga asing sepenuhnya. Hal ini disebabkan peniaga di pasar borong juga terdiri daripada warga asing dari Bangladesh serta etnik Rohingya.

Malah warga asing yang sudah bertahun-tahun menguasai perniagaan di pasar borong sekitar Lembah Klang turut mendapat bekalan daripada kalangan pekebun sayur warga asing.

Risiko bentuk kartel kawal pasaran

Jadi amat tidak mustahil mereka mampu membentuk kartel di masa hadapan serta boleh menentukan harga untuk dijual kepada pembeli hingga mengancam keterjaminan makanan negara.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) disaran untuk mengkaji semula negara sumber yang sesuai bagi membekalkan tenaga kerja di sektor pertanian bagi memastikan warga asing ini hanya berada di sini sebagai pekerja kepada pengusaha kebun rakyat tempatan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen Malaysia perlu mengadakan operasi lebih kerap bagi memastikan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tidak berbuat sesuka hati mereka seolah-olah berada di negara sendiri dengan bebas membuka kebun sayur di mana mereka mahu.

M Faisal, Kuala Lumpur

SUMBER: https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2023/05/1105336/ambil-tindakan-tegas-elak-warga-asing-jajah-sektor-pertanian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan