05 Mei 2023

Artikel Menarik : Amal langkah selamat elak mudarat panas melampau

 

Golongan berisiko terkena strok haba ialah kanak-kanak, warga emas terutama mengalami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubatan.

Berdasarkan pemantauan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini, terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dengan tiga dilaporkan di Sarawak, membabitkan dua kes kekejangan haba dan satu kelesuan haba.

Dua kes lagi dilaporkan di Kelantan, membabitkan kelesuan haba dan strok haba sehingga menyebabkan kematian.

Hakikatnya, cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Semua individu berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan dengan cuaca panas. Kesan kesihatan adalah pelbagai daripada sederhana kepada teruk seperti strok haba yang boleh menyebabkan maut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara 1998 hingga 2017, seramai 166,000 dilaporkan meninggal dunia akibat suhu ekstrem, termasuk lebih 70,000 meninggal dunia ketika gelombang panas di Eropah.

Angka itu lebih tinggi berbanding kematian akibat banjir dalam tempoh masa sama, iaitu 142,000 mangsa. Individu dewasa berumur 40 tahun ke atas 10 kali ganda lebih berisiko berbanding orang lebih muda.

Malaysia kini dilaporkan mengalami cuaca panas berpanjangan dijangka sehingga Ogos, susulan musim peralihan monsun. Cuaca panas membabitkan semua negeri, namun paling terkesan ialah negeri di utara dan Pantai Timur.

Kawasan di utara lebih teruk dan paling ketara kerana bersempadan dengan Thailand yang beriklim Monsun Tropika menyebabkan suhu mencecah lebih 37 darjah Celcius.

Rentetan itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran gelombang panas dengan suhu dijangka meningkat sehingga 37 darjah Celcius di beberapa negeri seperti Kedah.

Lebih buruk, musim panas berpanjangan tanpa hujan menyebabkan ada lokasi dilanda jerebu. Justeru, beberapa kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, termasuk Tanah Merah dan Cheras.

Punca strok haba adalah peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40 darjah Celsius atau lebih tinggi berbanding suhu badan normal iaitu 37 darjah Celcius.

Mereka yang tidak biasa dengan cuaca panas berisiko lebih tinggi mengalami keletihan haba atau strok haba kerana badan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suhu mendadak.

Justeru, rakyat Malaysia diminta berwaspada terhadap tanda awal 'strok haba' atau 'kejutan suhu panas' berikutan cuaca panas dan kering sekarang. Ia adalah penyakit berkaitan haba amat serius (penyakit suhu panas luar biasa).

Ia adalah kecemasan perubatan mengancam nyawa disebabkan kegagalan peraturan suhu badan (thermoregulation). Tidak seperti penyakit haba lain, strok haba dicirikan oleh ketinggian suhu badan melampau (hyperthermia) dan berkaitan disfungsi pusat sistem saraf dan kegagalan fungsi organ.

Golongan berisiko terkena strok haba ialah kanak-kanak, warga emas terutama mengalami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubatan.

Golongan kanak-kanak mempunyai risiko tinggi mengalami strok haba berikutan sistem saraf pusat belum berkembang sepenuhnya, manakala bagi warga emas berusia 65 tahun ke atas, mereka menghadapi kemerosotan fungsi sistem.

Golongan lain terkesan adalah individu gemar mengambil minuman bergula, berkafein dan beralkohol jika terdedah lama dengan cuaca terlalu panas.

Pekerja di kawasan terbuka dan terdedah cahaya matahari seperti petani, nelayan, buruh kasar, atlet, tentera dan pekerja tapak pembinaan turut berisiko terkena strok haba akibat pendedahan langsung dan berterusan untuk tempoh lama kepada cahaya matahari.

Bermakna, amat penting untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga melindungi diri daripada potensi risiko kesihatan. Demi kesejahteraan kesihatan, setiap individu terutama orang dewasa perlu menyasarkan minum sekurang-kurangnya enam gelas air tanpa mengira tahap aktiviti menggantikan air hilang akibat terhidrat sama ada berpeluh atau membuang air kecil.

Minum minuman isotonik atau air kelapa juga digalakkan kerana boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang ketika berpeluh. Elak minuman berkafein dan manis kerana ia mempercepatkan dehidrasi.

Selanjutnya, aktiviti luar perlu dihadkan, terutama untuk kumpulan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan individu mempunyai masalah kesihatan.

Namun, jika perlu berada di luar bangunan atau rumah, mereka dinasihatkan memakai pakaian longgar, nipis, berwarna terang dan diperbuat daripada kain kapas atau linen kerana membantu meresap haba dan peluh, selain menggunakan cermin mata hitam, topi dan payung besar untuk perlindungan matahari serta kerap mandi untuk menyejukkan badan.

Pada musim ini, sebaiknya mandi dengan air suam dan tidak terlalu sejuk kerana air sejuk membuatkan badan menjana haba untuk menggantikan haba yang baru hilang.

Makan lebih kerap, tetapi sedikit kerana makan dalam kuantiti banyak, terutama tinggi kadar karbohidrat menaikkan kadar metabolisme dan membuatkan badan terasa panas.

Pelindung matahari perlu digunakan dengan lebih kerap seperti menyapu semula setiap dua jam jika berenang atau berpeluh untuk mengelakkan selaran matahari kerana ia menjejaskan keupayaan badan menyejukkan diri.

Untuk wanita, kurangkan solekan kerana terdapat sesetengah bahan dalam produk kosmetik berkemungkinan menyekat aliran peluh, sekali gus membuatkan rasa panas pada bahagian muka.

Kesimpulannya, masyarakat tidak boleh mengambil ringan mengenai risiko cuaca panas. Strok haba mengakibatkan kematian jarang berlaku di Malaysia, tetapi dalam keadaan cuaca panas, masyarakat perlu berhati-hati kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutama golongan berisiko.

Pensyarah, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, FakultiPerubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

SUMBER: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/05/1096962/amal-langkah-selamat-elak-mudarat-panas-melampau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan