19 April 2023

10 kuih tradisional makin jarang dijumpai ketika raya

 

DAHULU, apabila tiba musim perayaan pasti meriah dengan pelbagai juadah yang begitu menyelerakan dan unik.

Lebih menarik adalah penyediaan kuih atau biskut raya disediakan ibu yang gigih membuatnya seawal bulan puasa lagi.

Mereka akan mula membuat kuih-muih dan menyimpan dalam balang kedap udara. Walaupun penyediaannya agak rumit dan mengambil masa yang lama, hasilnya boleh memenuhi satu meja.

Kini, ada beberapa jenis kuih raya yang kian pupus dan jarang sekali dihidangkan ketika perayaan terutama ketika Aidilfitri.

1.Agar-agar kering

Diperbuat dengan pelbagai warna, agar-agar kering antara hidangan malar segar. Pembuatannya juga agak mencabar dan menuntut kesabaran tinggi disebabkan faktor cuaca dan cara bancuhan yang mana jika tersilap sukatan ia tidak akan menjadi.

Masih menjadi perhatian untuk dihidangkan, ia lebih menarik perhatian kanak kanak ketika beraya kerana tekstur dan warnanya seakan kudapan khas buat kanak kanak.

2. Kuih kelamai

Kuih ini menjadi kelaziman setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri bagi masyarakat Melayu Rawa di Perak, khususnya di Gopeng. Tidak lengkap sekiranya tidak disambut sajian istimewa ini.

Kelamai adalah hidangan seakan-akan dodol dari segi warna dan fizikalnya yang kehitaman dan kenyal, bagaimanapun ia dimasak dengan cara dibakar di dalam buluh seperti lemang dan cara penyediaannya juga agak rumit.

3. Biskut buah kana

Biskut buah jana enak kerana pelbagai jenis jem di tengah-tengahnya. Selalunya bahan untuk membuat biskut lama ini tak banyak dan ringkas.

Bahan penyediaan biskut ini juga agak mudah hanya menggunakan beberapa jenis tepung seperti tepung gandum, tepung jagung, tepung kastard, gula, telur dan esen vanila.

4. Biskut sampan

Dahulu, biskut sampan adalah antara biskut raya yang sangat dikenali ramai. Ia mendapat namanya daripada acuannya yang menyerupai bentuk sampan. Kini dengan pelbagai biskut moden dihasilkan, ia semakin dilupakan.

Terdapat pelbagai versi intinya, iaitu sama ada menggunakan kelapa kering, nestum atau badam dan lain-lain cara.

Namun, zaman dahulu dikatakan tiada nestum untuk intinya, tetapi digantikan dengan buah ceri hijau dan merah.

5. Kuih kuyak

Kuih kuyak adalah kuih tradisional dari Sarawak. Ia menjadi juadah bila tibanya Syawal dan ia disukai ramai tidak kira muda atau tua.

Rasanya enak, lemak, manis dan pedas saling berbaur untuk mewujudkan cita rasa yang unik.

Beras pansuh digunakan ialah beras istimewa kerana ia adalah beras baru dituai. Tentu saja hasilan kuih kuyak enak dan harum aromanya kerana menggunakan bahan terbaik. Jika di Semenanjung dikenali sebagai kuih putu kacang.

6. Kuih Cina

Nama sahaja kuih Cina, tapi pembuatannya bukan lah dari kaum Cina. Itulah keunikan kuih Cina yang terdapat di Sarawak.

Kuih Cina ialah biskut tradisional buatan masyarakat Melanau yang enak. Kuih ini dihasilkan secara tradisional dan menggunakan ekstrak daun pandan yang menyelerakan.

Kuih itu menjadi kuih tradisional dihidangkan pada setiap kali musim perayaan. Dalam majlis perkahwinan, kuih Cina turut menjadi hidangan wajib kepada tetamu yang datang.

7. Halwa maskat

Kuih raya yang popular zaman dahulu dengan bentuk segi empat, rupanya seakan jeli yang dihasilkan daripada minyak sapi, tepung dan gula. Halwa maskat berwarna kekuningan pekat ini paling jarang ditemui ketika hari raya.

Membuatnya tidak mudah serta tepungnya juga perlu dicuci. Proses mengacaunya mengambil masa yang agak lama. Mengikut petua orang dahulu, ia perlu dikacau dalam kuali tembaga untuk mendapatkan warna yang cantik.

Adunan bagi menghasilkan halwa maskat perlu diperam selama tiga hari tiga malam sebelum dikacau pada api yang perlahan selama lima jam tanpa henti. Sekiranya tidak, campuran berkenaan berkerak dan hangit.

8. Kuih wajik

Kuih wajik adalah salah satu kuih tradisional yang popular turun-temurun, resipi nenek moyang sangat berharga. Zaman dahulu wajik adalah kemestian dihidangkan pada Aidilfitri di samping dodol, tapi kini kuih ini jarang disajikan, jika ada hanya dibeli.

Bahan membuatnya ringkas iaitu beras pulut, gula merah, gula putih, santan dan daun pandan untuk menghasilkan adunan manis dan enak sudah pasti dapat menambat hati penggemar kuih tradisi berkenaan.

9. Kerepek ubi kayu sira gula

Kebiasaannya kita akan jumpa kerepek ubi kayu yang disagat seperti kerepek ubi kayu masin, pedas dan pelbagai perisa lagi terutamanya ketika sambutan Aidilfitri, namun kerepek ubi kayu sira gula ini agak unik cara penyediaannya.

Ubi kayu berkenaan perlu dikupas sebelum direbus hingga empuk. Kemudian ubi berkenaan dihiris tipis dan disusun diatas dulang sebelum dijemur hingga kering.

Kepingan ubi kayu telah kering, ia perlu digoreng sebelum disira dengan gula aising.

10. Lepat jagung

Selalunya kulit jagung akan dibuang dan hanya mengambil isi jagung sahaja. Tidak perlu mencari daun pisang resipi lepat jagung manis ini menggunakan kulit jagung sebagai pembalut kuih lepat.

Sangat bijak dan tiada pembaziran dalam proses masak lepat kerana semua bahannya digunakan sepenuhnya.

SUMBER: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/selera/2023/04/1091341/10-kuih-tradisional-makin-jarang-dijumpai-ketika-raya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan