KUALA LUMPUR: Malaysia setakat
ini tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai 'ameba pemakan
otak' namun rakyat dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya
ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.
Ketua Pengarah
Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini berkata,
ini termasuklah mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa
sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat
ameba berada di situ.
Selain itu, orang ramai
dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air
yang mana air mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung
secara terus.
"Langkah lain
ialah mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan
aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam,
sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan
aktiviti dalam air," katanya.
Naegleri Fowleri
ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui
di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam,
sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak
yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.
Ameba Naegleri
Fowleri juga dikenali sebagai 'ameba pemakan otak' kerana berupaya menyebabkan
kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya untuk
masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air
tawar.
Semalam, Korea
Selatan telah melaporkan kes pertama jangkitan itu membabitkan seorang lelaki
warga tempatan berusia lingkungan 50-an yang meninggal dunia pada 21 Dis
selepas menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum
kembali ke republik itu pada 10 Dis lepas.
"Kementerian
Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di
dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan
kesejahteraan rakyat.
"Selain itu,
KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya
terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut," kata Dr Noor
Hisham.
Menjelaskan lanjut,
beliau berkata, gejala PAM pada peringkat awal menyerupai gejala meningitis
yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam,
loya, atau muntah.
Katanya, gejala
yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap
orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku dan
kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh
inkubasi) dan seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas
dijangkiti.
"Keadaan pesakit
juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan
kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset
gejala," katanya.
Menurut Dr Noor
Hisham, penyakit tersebut didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria
Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti
dan rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad
disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan