28 Disember 2022

Latih wanita B40, OKU jadi usahawan

 

KUALA LUMPUR: Golongan wanita terutama kategori B40 dan orang kurang upaya (OKU) akan diberi latihan menerusi program gabungan pembelajaran atas permintaan (ODL) dan modul latihan dalam usaha memperkasakan perniagaan mereka sejajar dengan perkembangan pesat dunia digital.

Program anjuran Usanita Sdn Bhd (Usanita) itu juga bertujuan melahirkan usahawan termasuk peniaga kecil lebih berdaya saing dan saling memberi sokongan untuk mengukuhkan perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Adzliana Hasan, Usanita mahu membudayakan aktiviti keusahawanan bagi menambah baik nilai ekonomi kepada golongan wanita dan ahlinya.

"Kita juga beri keutamaan kepada golongan B40 untuk mengembangkan perniagaan. Usahawan perlu ampuh dengan pelbagai cabaran, merasai keperitan hanya untuk memastikan perniagaan mereka bertahan agar lebih maju pada masa depan.

"Ketika pandemik COVID-19 ramai yang terkesan sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Justeru, kini wanita perlu mempertingkatkan keupayaan di dalam sektor ekonomi dan sosial bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang berkualiti serta sejahtera.

"Dua perkara itu diberi keutamaan supaya usahawan lebih berkemahiran, kenal pasti apa yang ingin dipelajari, pemilihan mentor yang betul agar dapat membantu usahawan mencapai kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Seterusnya, usahawan harus bijak membuat analisis mengenai keperluan perniagaannya.

"Mentor pula boleh membantu memberi nasihat, memantau usahawan membina jenama mereka dengan lebih baik.

Pada masa sama, usahawan perlu mempelajari aspek pemasaran, penjenamaan dan pengurusan kewangan," katanya.

Adzliana berkata, Usanita akan berusaha mendengar dan membantu memberi pandangan serta cadangan dan melihat masalah yang dihadapi oleh usahawan.

"Kita menggalakkan wanita berniaga untuk membantu suami, keluarga dan membangunkan ekonomi negara," katanya.

Usahanita ditubuhkan pada awal pandemik COVID-19 dengan menawarkan perkhidmatan kebajikan serta sosial kepada rakan kongsi, mentor dan ahli mereka.

Katanya, separuh daripada penduduk di negara ini adalah wanita yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara termasuk bidang perniagaan.

Justeru, pihaknya menyediakan platform e-commerce dengan berkolaborasi bersama beberapa usahawan selebriti dan kementerian berkaitan.

"Dengan kerjasama ini, mereka dapat meluaskan memasarkan produk dan barangan melalui e-Commerce.

"Kerjasama dengan selebriti juga dapat menarik dan menyakinkan pengguna untuk membeli serta membuatkan pilihan produk diperlukan.

"Selain itu, wanita adalah golongan yang senang dilatih kerana mereka mempunyai sikap tidak berputus asa.

"Tambahan pula, wanita ialah seorang yang kreatif, sistematik, dan mudah melakukan berbilang tugas dalam satu masa," katanya.

Menurut pakar, graduan wanita lebih ramai berbanding graduan lelaki. Hal ini membabitkan potensi wanita untuk terus maju," katanya.

Mengenai cabaran dalam bidang perniagaan, beliau sendiri juga pernah berdepan cabaran sama terutama ketika pandemik, COVID-19 membuatkan semua program hanya boleh dilakukan secara dalam talian serta menyebabkan ia lambat

untuk dikenali, " katanya.

Oleh itu, Usanita terbabit dalam pengurusan acara seperti penganjuran bengkel, ekspo dan karnival dengan nilai tambah pembabitan usahawan dan ikon negara.

SUMBER: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan