22 Disember 2022

Duta bahasa Melayu perkasa wibawa bangsa Malaysia

 


Mutakhir ini, satu fenomena positif berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia apabila mereka mula tertarik mencari istilah bahasa Melayu digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama pada sidang media atau menerusi kenyataan rasmi.

Perkataan seperti cerakin dan dampak antara yang viral serta dikongsikan di media sosial dengan penerangan maksud istilah itu kepada masyarakat, walhal perkataan ini sudah tersenarai lama dalam Kamus Dewan namun tidak begitu dibugarkan.

Sebenarnya, jika diamati bahasa Melayu sememangnya kaya dengan peristilahan dan mempunyai ragam bahasa boleh digunakan dalam situasi formal ataupun tidak formal.

Pusat Rujukan Persuratan Melayu @PRPM dikendalikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antara sumber gedung pustaka peristilahan bahasa Melayu yang menjelaskan maksud bahasa 'pelik' tetapi wujud dalam rumpun Melayu.

Dalam pada itu, aplikasi media sosial berkembang pesat seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok adalah pemudah cara untuk mempercepatkan perkongsian maklumat tanpa batasan kepada masyarakat.

Namun begitu, di sebalik kecanggihan teknologi ini, terdapat suatu perkembangan ironi terhadap bahasa Melayu yang dapat dikesan, apabila kerancuan bahasa (rojak) terjadi dan sewenang-wenangnya disambut baik pengguna khususnya belia.

Sekiranya, isu ini tidak dibendung dengan cermat, maka negara akan melahirkan masyarakat pudar jati diri dan berbangga dengan keupayaan mencampuradukkan pelbagai bahasa dalam penulisan dan pertuturan.

Tidak endah bahasa rasmi

Keadaan menjadi lebih menyedihkan, apabila masyarakat tidak mengendahkan lagi bahasa rasmi negara sebagai bahasa perpaduan negara bangsa.

Selain kerancuan bahasa, masalah malu untuk berbahasa Melayu juga menjadi isu masih bertapak di negara ini masih belum nampak ia akan berakhir.

Jika pun ada, ia seperti tercetusnya gelombang tsunami dan hanyut di bawah arus besar. Kelompok pengguna berbahasa Inggeris mencipta standard tersendiri sehingga menyebabkan keterasingan dan rendah hati pada masyarakat berbahasa Melayu.

Hal ini menyebabkan mutu bahasa Melayu diperlekeh dan dengan mudah digantikan dengan bahasa asing. Amalan sistem pendidikan berlandaskan dwibahasa juga semakin melemahkan kedudukan bahasa Melayu.

Justeru, di manakah pendirian kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai bahasa kebangsaan sendiri? Tidak salah menguasai bahasa lain tetapi usah sampai bertindak melupakan bahasa menjadi 'darah daging' kepada semua kaum untuk mencapai kemerdekaan.

Adakah kita perlu mengangguk kepala dan mengakui kita sememangnya sudah seperti 'kacang lupakan kulit'? Situasi ini sangat menyedihkan jika dibiarkan terus berlaku tanpa 'rawatan'.

Lanjutan daripada itu, 'duta bahasa' perlu diperkenalkan sebagai satu agen pemangkin kesedaran isu bahasa dalam negara di samping membantu pemegang taruh menjaga kelestarian bahasa Melayu sebagai pemersatu bangsa.

Di Malaysia, panggilan duta bahasa tidak popular dan janggal di halwa telinga tetapi jika disosialisasi, kehadiran duta bahasa akan menjadi sinonim dengan perjuangan memperkasa bahasa Melayu.

Duta bahasa seharusnya dilantik khas pihak kerajaan dan diserap masuk ke dalam mana-mana agensi kerajaan dan swasta untuk menyemai semula dasar cintakan bahasa kebangsaan.

Berpengalaman luas

Golongan ini boleh terdiri daripada guru bahasa Melayu profesional selain pempengaruh media sosial, juruhebah, penyanyi dan pelakon mempunyai peminat tegar dan ramai.

Kriteria seorang duta bahasa dapat diteliti sebagai seorang individu mesti berbangga berbahasa Melayu dan menjiwai sastera juga budaya Melayu.

Individu dilantik mestilah berpengetahuan luas berkenaan bidang berkolerasi iaitu bahasa dan sastera, berketerampilan, berkeyakinan dan, amanah dengan tugas yang diberikan.

Duta bahasa perlu bersikap terbuka, bersifat mampan serta tahan emosi dalam menghadapi cabaran. Penilaian terhadap duta bahasa perlu dijalankan golongan profesional berpengalaman dalam bidang bahasa dan sastera.

Pelantikan duta bahasa bukan bertujuan mengganggu atau merencatkan tanggungjawab sedia ada diberikan kepada pihak kementerian ataupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kehadiran duta bahasa juga tidak dilihat bertindan dengan peranan munsyi muda bahasa, yang fokusnya menjaga penggunaan bahasa Melayu oleh penjawat awam dalam urusan rasmi kerajaan.

Malahan dengan adanya duta bahasa, akan dapat melancarkan tugas tidak dapat disempurnakan peneraju utama.

Duta bahasa bukan sahaja bertujuan memastikan dan mempromosi penggunaan bahasa Melayu dengan tepat dan betul tetapi melindungi serta mengembangkannya dengan mengubah mentaliti dan mewujudkan keyakinan terhadap kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara semua bangsa.

Bagaimanapun, tugas melestari bahasa Melayu ini bukan sahaja terletak di bahu duta bahasa semata-mata. Sebagai rakyat Malaysia, perlu bercita-cita untuk terus menyemarakkan perjuangan bahasa Melayu.

Sikap putus asa dan merelakan penjajahan bahasa terus berlegar perlu dinyahkan walaupun pengaruh globalisasi bahasa terjadi di Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

SUMBER: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan