20 Disember 2022

5 universiti bergabung martabatkan bahasa Arab

 


KUALA LUMPUR: Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0 dan sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia dianjurkan Universiti Malaya (UM) mendapat sambutan menggalakkan sebagai sebahagian usaha memartabatkan bahasa itu di persada antarabangsa.

Berlangsung sejak 1 Disember lalu sehingga semalam, inisiatif itu memberi lonjakan kepada bahasa Arab selepas hampir sedekad ia mendapat pengiktirafan besar di peringkat antarabangsa, yang mana ia diiktiraf sebagai antara bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 18 Disember 1973.

UM melalui kenyataan memaklumkan, objektif penganjuran adalah untuk terus menggalakkan pelajar bertutur dengan bahasa Arab, menggunakannya dalam komunikasi harian dan memartabatkan bahasa agung ini dengan mengaplikasikannya dalam komunikasi seharian serta mengetengahkan budaya dan bahasa Arab kepada masyarakat umum.

"Sepanjang tempoh bermula penganjuran, Jabatan Bahasa Arab UM dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Almotahida Education Group bergabung tenaga dan berkongsi idea menjayakan program ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sambutan dirancang dengan penganjuran pelbagai pertandingan dan festival daripada setiap universiti yang terbabit antaranya Pertandingan 'E-Comic' dikelolakan UiTM, pertandingan 'Arabic Got Talent' oleh UPM, pertandingan Minecraft dikelolakan USIM, Seminar Antarabangsa Bahasa dan Kebudayaan Arab oleh UKM dan forum dalam talian mengenai isu berkaitan bahasa Arab untuk tujuan khusus yang dikelolakan UIA Pagoh di Johor.

"Pada 16 hingga 18 Disember pula, UM selaku penganjur utama menganjurkan Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0 dan kemuncaknya ialah sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia.

"Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0 disertai 52 mahasiswa institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara termasuk Universitas Ahmad Dahlan di Yogyakarta, Indonesia dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali dari Brunei.

"Sepanjang kem ini dijalankan, semua peserta dan fasilitator perlu menggunakan bahasa Arab sepenuhnya dalam komunikasi sesama mereka sebagai satu bentuk latihan untuk memperkasakan kemahiran bertutur bahasa masing-masing," katanya.

UM melalui kenyataan sama menjelaskan pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan sepanjang kem ini berlangsung antaranya mencipta logo dan sorakan kumpulan, eksplorasi, latihan dalam kumpulan, mencipta lagu tema kem, malam kebudayaan Arab dan lain-lain.

SUMBER: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan