TANAH MERAH: Apabila tiba musim
tengkujuh, Siti Mariam Samad dari Kampung Padang Siam, di sini, boleh tersenyum
lebar kerana pelbagai tanaman ubi yang diusahakan bersama suami begitu laris
dan mendapat permintaan tinggi.
Wanita berusia 55
tahun itu dan suami Muhammad Noor, 57, mengusahakan pelbagai tanaman ubi di
atas sebidang tanah di belakang rumah mereka di Kampung Padang Siam, dekat
sini, sejak tujuh tahun lepas.
Antara ubi yang
diusahakan pasangan penoreh getah itu ialah ubi kayu, badak, keledek dan
kembili yang hanya memerlukan tujuh bulan untuk dituai dan mengeluarkan hasil.
"Walaupun tiba
musim tengkujuh, ramai petani akan berasa risau, namun rezeki saya berlimpah
ruah pada waktu hujan.
"Kebiasaannya
jika musim hujan, makin ramai orang membeli ubi, kalau tidak hujan
permintaannya kurang," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari
ini.
Menurut Siti Mariam
ketika musim hujan, mereka mampu menjual pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu,
badak, keledek dan kembili sebanyak 30 hingga 50 kilogram (kg) sehari.
"Harga jualan
bergantung kepada jenis ubi, bermula serendah RM2 hingga RM5 sekilogram,"
katanya.
Bercerita lanjut,
Siti Mariam berkata disebabkan pendapatan sebagai penoreh ketika musim
tengkujuh sering tidak menentu, maka mereka memilih untuk mengusahakan tanaman ubi
sebagai sumber pendapatan sampingan.
"Bekerja
sebagai penoreh getah, pendapatan pasti tidak menentu apabila tiba musim
tengkujuh disebabkan itu kami mengambil inisiatif untuk menanam ubi bagi
menjana pendapatan.
Ubi begitu sinonim
di Kelantan ketika musim hujan dan biasa dimakan dengan cara direbus dan
dihidang bersama kelapa parut, sambal tumis ikan bilis, atau dibuat ubi
'getuk', tapai ubi dan ubi goreng.
Kuih putu halba
antara kuih tradisional diperbuat daripada ubi kayu juga mendapat permintaan
tinggi semasa musim tengkujuh.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan