14 November 2022

Promosi keunikan kepelbagaian budaya di peringkat antarabangsa

 

KUALA LUMPUR: Usaha mempromosikan keunikan kepelbagaian budaya Malaysia di pentas antarabangsa berjaya direalisasikan menerusi Minggu Kebudayaan Malaysia 2022 (MCW 2022), di Republik Sudan, baru-baru ini.

Program julung kali diadakan selepas lebih satu dekad itu anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum, Republik Sudan bersempena sambutan Hari Merdeka Ke-65 dan Hari Malaysia Ke-59.

Program dua hari itu menarik lebih 2,000 pengunjung termasuk kalangan duta besar negara asing, pegawai tertinggi kerajaan Sudan, diplomat daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakyat Sudan.

Pengerusi Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PEWAKILAN) Khartoum yang juga jawatankuasa program, Lilis Surianty Mior Aziz, berkata kehadiran ramai pengunjung menunjukkan inisiatif kedutaan ini amat berkesan bagi menyerlahkan keunikan, keindahan dan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Katanya, MCW 2022 bertujuan meraikan kedua-dua budaya Malaysia dan Sudan di bawah satu bumbung tampil dengan artis batik canting serta artis kebudayaan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak.

"Pembuka tirai program dimulakan dengan persembahan seni silat diketuai pegawai kedutaan, Yushazbullah Yusof dan Persatuan Mahasiswa Malaysia - Sudan (PMMS).

"Turut diadakan demonstrasi makanan jalanan di Malaysia seperti sate, apam balik, mi goreng, jualan kuih muih tempatan dan minuman teh ais menerusi pembukaan tiga gerai jualan," katanya.

Sudan turut tampil dengan Coffee Ceremony, iaitu persediaan kopi diikuti tarian tradisional oleh Wanita Hakamat ketika minuman itu dihidangkan kepada pengunjung.

Turut dipaparkan adalah filem terkenal di Sudan bertajuk Tajouje, manakala dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), ditayangkan adalah filem Hikayat Merong Mahawangsa untuk tontonan pengunjung.

"Selain itu, sebanyak 28 helai kain batik digantung bagi menghiasi dinding dewan serba guna yang bertemakan budaya Malaysia.

"Malah, botol plastik dan alatan berkaitan bengkel kitar semula turut dijadikan perhiasan wanita selain perhiasan bunga pahar," katanya.

Lilis Surianty berkata, PERWAKILAN Khartoum ditugaskan mengendalikan bengkel bertujuan memperkenalkan tarian tradisional Malaysia, budaya Malaysia menerusi batik canting.

Aktiviti kitar semula diadakan bagi memupuk rakyat tempatan Sudan mempraktikkan budaya kitar semula.

Promosi kebudayaan Malaysia di pentas antarabangsa

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Republik Sudan, Mohamad Razdan Jamil, berkata inisiatif itu adalah lanjutan daripada strategi dasar luar negara bagi mempromosikan kebudayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, ini selari dengan Kerangka Dasar Luar Negeri - Tumpuan Dalam Kesinambungan, iaitu dengan salah satu objektifnya untuk membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia.

"Objektif program itu berjaya dicapai apabila persefahaman dalam kepelbagaian diraikan dengan Malaysia menumpukan kepada aspek persamaan murni di antara satu sama lain, dengan menekankan elemen kekuatan di dalam kepelbagaian," katanya.

Minggu Kebudayaan Malaysia ini hanya dapat direalisasikan dengan hasil kerjasama rapat antara pegawai Kedutaan, iaitu Mohd Faiz Firdaus Kamaruddin, Muhammad Rafeeq Mohd Razali.

Selain itu, ahli PERWAKILAN Khartoum, Siti Maisara Ahmad dan Arni Hasliza Mohd Arshad dan semua agensi pelancongan di Malaysia yang memberikan tajaan tiket penerbangan untuk semua artis batik canting dan artis kebudayaan JKKN ke Sudan.

"Program ini memberikan impak besar di Sudan dan maklum balas diterima sangat memberangsangkan," katanya.

SUMBER: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan