02 November 2022

Pencarian busker wanita: Kretip Malaya tawar hadiah wang tunai RM3,000!

 

KUALA LUMPUR: Ramai pemuzik jalanan di luar berbakat besar namun tidak memiliki platform tepat untuk mengetengahkan bakat di pentas berskala besar.

Oleh itu Buskernita Challenge menawarkan platform untuk golongan ini menonjolkan bakal mereka dan lebih menarik, peserta juga berpeluang memenangi wang tunai RM3,000.

Demikian kata Pengerusi Kretip Malaya, Nur Fazila Abdul Rahim memaklumkan pihaknya tampil mencari busker yang memiliki bakat istimewa dalam kalangan kaum wanita.

“Golongan wanita dilihat semakin ramai menceburkan diri dalam menjalankan aktiviti busking. Kami harap program ini dapat menyediakan peluang dan ruang kepada mereka yang berbakat besar dalam arena busker.

“Buskernita Challenge hanya terbuka kepada golongan wanita sahaja dan peserta harus mengikut syarat dan terma.

“Program istimewa ini turut mendapat kerjasama Persatuan Malaysian Buskers, komuniti berdaftar yang mewakili penggiat seni jalanan peringkat Nasional. Selain itu, Buskernita Challenge turut mendapat sokongan dari pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan memberi perkongsian pada bengkel yang diadakan pada sebelah pagi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.

Tambah Fazila, bengkel yang dikendalikan oleh AADK ini akan berkongsi pencerahan untuk membuang stigma masyarakat terhadap pemuzik jalanan yang sering dikaitkan dengan isu dadah.

Dalam pada itu, Buskernita Challenge menawarkan wang tunai RM 3,000 untuk juara keseluruhan, RM1,500 pemenang tempat pertama dan RM500 pemenang tempat kedua. Program itu juga bakal dimeriahkan dengan kehadiran busker terkenal mengadakan persembahan.

Program ini berlangsung pada 12 November 2022 bertempat di sebuah pasaraya di pusat beli belah Lalaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur bermula jam 1 tengah hari hingga 7 malam.

SUMBER: Astro Awani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan