KUALA LUMPUR: Kita sering
terbaca atau mendengar kepentingan gaya hidup sihat di kaca televisyen, majalah
atau di radio. Ada yang berkata amalan gaya hidup sihat bermula dengan
pemakanan sihat. Ada juga menyentuh soal senaman dan aktiviti fizikal. Tidak
kurang juga menyarankan kita mengelakkan diri daripada tabiat dan pemakanan
yang kurang sihat.
Untuk memulakan
gaya hidup sihat, anda perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti penjagaan
makanan, kesihatan mental dan aktiviti fizikal. Ramai yang cakna mengenai ini
tetapi malas untuk mulakannya.
Mari
mulakan gaya hidup dengan 4 langkah ini!
Jaga makan, amalkan konsep ‘Suku Suku
Separuh’.
You are what you
eat. Kawal kuantiti makanan yang diambil setiap hari. Gunakan pinggan
berukuran kira-kira 10 inci yang dibahagikan kepada tiga bahagian dengan konsep
‘suku-suku separuh’. Maksudnya suku pertama diisi dengan sumber karbohidrat
seperti nasi, mi, roti dan bijirin di mana kumpulan makanan ini merupakan
sumber tenaga utama kepada tubuh kita. Suku kedua pula diisi dengan sumber
protein seperti ikan, ayam, daging, telur dan kekacang yang diperlukan untuk
tumbesaran, perkembangan dan memperbaiki tubuh.
Separuh lagi diisi dengan
buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan sumber serat, vitamin dan
mineral penting untutk membantu pelbagai fungsi penting tubuh. Manakala
pengambilan air yang disarankan ialah enam hingga lapan gelas sehari.
Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu sangat aktif dan banyak berpeluh, mereka
perlu mengambil dua gelas air tambahan bagi mengelakkan dehidrasi.
Kawal berat badan
Bagi anda yang
ingin menurunkan berat badan pula, mulakan dengan memotong atau berhenti terus
meminum air manis. Banyakkan minum air kosong dan jika teringin sesuatu yang
manis boleh makan buah atau makanan sihat yang lain. Perlu ingat, berat badan
ideal atau normal bermakna kesihatan anda lebih baik.
Sebaliknya, berat
badan berlebihan membawan kepada banyak risiko masalah kesihatan, Selain kawal
pengambilan minuman manis, bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
Harus tahu, pemakanan dan aktiviti fizikal adalah kunci untuk kawal berat
badan.
Jaga emosi, jangan
marah-marah
Rasulullah SAW
menasihati ‘jangan marah’ diulangi sehingga tiga kali. Ini menunjukkan hakikat
kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada
kebersihan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu
dengan mengubah posisi ketika marah. Bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan
apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Untuk umah Islam,
amalkan bacaan Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil
wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan
kemarahan.
Jangan malas jalan
kaki
Berjalan kaki bukan
semata untuk kurus tetapi sihat! Kebanyakan daripada kita bekerja memerlukan
duduk di depan komputer dan tidak memerlukan pergerakan fizikal yang banyak.
Senaman sama seperti makan, selagi kita makan selagi itu kita perlu bersenam
(bergerak). Sebelum mulakan aktiviti senaman berkala, cuba dahulu untuk menjadi
lebih aktif dengan cadangan di bawah.
1) Jalan kaki untuk
perjalanan yang dekat (bawah 1km) 2) Gunakan tangga berbanding lif. 3) Letak
kereta jauh daripada pejabat. 4) Regangkan badan selama 10 minit setiap sejam.
5) Rajinkan buat kerja rumah.
Apa kata cari
aktiviti yang memerlukan anda bergerak seperti menari, bersukan badminton atau
futsal atau lompat tali. Lakukan minima 3 kali seminggu, 30 minit setiap sesi.
Senaman bukan sahaja membantu mengurangkan berat badan dan mencegah penyakit,
ia juga mampu meningkatkan tenaga dan menjadikan anda lebih gembira dengan
penghasilan hormon dopamin, adrenalin dan endorfin.
Apabila badan dalam
keadaan sihat, fizikal dan minda juga berfungsi lebih baik. Selain itu, keadaan
fizikal yang sihat tentunya akan menambah keyakinan diri. Bersosial juga
merupakan gaya hidup sihat yang membantu menjadikan kehidupan lebih sempurna
dan bermakna.
Benar ajal di
tangan Tuhan. Tetapi Tuhan juga memerintahkan agar kita hidup dalam keadaan
yang sihat. Jika badan sihat dan tiada penyakit kronik, dari sudut sains jangka
hayat akan meningkat.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan