KUALA LUMPUR : Hidangan kegemaran
rakyat Malaysia yang biasa dinikmati tanpa mengira waktu ini sudah sekian lama
menggoda tunas rasa pelancong antarabangsa.
Dalam satu hantaran tentang senarai ‘Makanan
Jalanan Terbaik Dunia’ pada dua hari lalu, roti canai Malaysia terunggul di
nombor satu, mengatasi pelbagai jenis hidangan lain dari negara-negara serantau
dan seluruh dunia. Senarai 50 jenis makanan antarabangsa itu turut
disertai hidangan jalanan popular lain, antaranya seperti pizza al taglio dari Itali, negima yakitori (Jepun), doner kebab (Turkiye), serabi (Indonesia), spiedie (Amerika Syarikat), shawarma (Lubnan), dan coxinha (Brazil). Pisang goreng yang mudah ditemui di
Malaysia juga mendapat tempat dalam senarai itu di tangga ke-42, namun ia
dilabelkan sebagai hidangan Indonesia. Pada masa sama, roti paratha dari India,
yang mirip roti canai juga tersenarai di kedudukan kelima.
Senarai tersebut
yang dimuat naik pada Rabu lalu menerima pelbagai reaksi dari penggemar makanan
antarabangsa, baik yang bersetuju mahupun yang mempertikai.
Bagaimanapun,
senarai seumpamanya sering dibuat untuk meraikan kepelbagaian resipi sedunia,
dan ia sentiasa berubah-ubah mengikut kategori dan maklumat yang dikumpulkan
dalam satu tempoh masa tertentu.
TasteAtlas adalah
antara jenama panduan percutian yang diasaskan oleh wartawan dan juga usahawan
Matija Babic pada 2015. Menerusi akaun Instagramnya yang memiliki lebih 120,000
pengikut, ia sudah membuat sebanyak lebih 3,000 hantaran berkaitan dunia
kulinari dan gastronomi merentas benua.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan