IPOH: Perbincangan dan pemantauan akan dibuat dalam masa terdekat dengan pihak berkaitan bagi melihat kesesuaian lokasi batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar diangkat sebagai satu lagi geotapak.
Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, keputusan itu juga tertakluk kepada kesanggupan pemilik tanah di kawasan itu untuk membangunkan ia sebagai geotapak.
Tidak menolak hakikat bahawa lokasi menarik itu tular di media sosial baru-baru ini, beliau mengakui banyak aspek perlu diperhalusi termasuk isu keselamatan orang ramai.
"Kita akan mulakan proses untuk berunding dengan pemilik tapak melihat bagaimana kita boleh mengangkatnya sebagai geotapak.
"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah telah menghubungi pemilik tanah berkenaan dan insya-Allah kita akan minta Taman Negeri bersama Jabatan Mineral dan Geosains untuk buat pemantauan awal.
"Ia bagi melihat sama ada betul atau tidak kita boleh angkat sebagai geotapak yang baharu," katanya.
Nolee Ashilin berkata demikian sebagai mengulas lokasi berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini, termasuk keindahan semula jadi yang ada di situ.
Ketika ditanya bila pertemuan itu akan dibuat, Nolee Ashilin berkata pihaknya akan membuat lawatan ke lokasi dan perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat bersama JMG, pemilik tanah, dan Taman Negeri.
Terdahulu beliau merasmikan majlis penutup Program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Nizarul Ikram Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bersabar dan tidak menularkan kawasan itu terlebih dahulu sebelum perbincangan diadakan.
Ia kerana dibimbangi berlaku sesuatu di luar jangkaan dan pemilik tanah terpaksa bertanggungjawab di atas isu keselamatan.
"Banyak yang sudah viralkan, ia ada isu keselamatan di situ sebab apabila menjadi viral orang cuba masuk tetapi pemilik tutup.
"Kerana mereka takut daripada keselamatan mungkin ada kemalangan yang akan berlaku, tanggungjawab akan jatuh kepada pemilik kerana ia atas tanah milik.
"Jadi saya nasihatkan untuk bersabar dahulu untuk kita membuat pengumuman selepas ini, sekiranya tempat itu selamat untuk dilawati dan sesuai untuk dikunjungi," katanya lagi.
Dalam program itu, seramai 50 peserta berjaya menamatkan kursus berkenaan dan menerima sijil yang disampaikan oleh Nolee Ashilin.
Kursus itu berlangsung selama tujuh hari yang bermula pada 8 hingga 14 Ogos.
SUMBER: Aida Aziz, Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan