18 Ogos 2022

Artikel Menarik - Bulan Kemerdekaan: Pengisian dinamik untuk pelajar hayati sejarah, warisan negara

KAMPAR: Lebih 300 pelajar SMK Kampar mengikuti Program Semarak Kemerdekaan yang dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, di sini, baru-baru ini.

Fasa endemik membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi pelaksanaan program tahun ini, khususnya ketika bulan sambutan kemerdekaan.

Sekolah itu juga merupakan lokasi pertama dipilih di Perak bagi penganjuran program tersebut, yang menumpukan penghayatan serta nilai warisan sejarah kepada pelajarnya.

Menurut guru sejarah SMK Kampar yang juga mewakili pihak sekolah, Nor Hisham Zulkiflee, program itu turut mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan, Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya dan Persatuan Pelukis Perak.

Katanya, pendekatan berbeza yang diambil dapat memberi suntikan semangat serta minat para pelajar kepada subjek Sejarah, yang selama ini disifatkan membosankan.

"Sudah lama program secara fizikal dan membabitkan ramai pihak tidak dianjurkan di sini, kali terakhir pada tahun 2018 iaitu sebelum pandemik COVID-19.

"Kita berjaya himpunkan pihak sekolah, PPD, pihak Arkib Perak dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

"Malah kita juga jemput kartunis majalah Gila-Gila dan Persatuan Pelukis Perak untuk beri 'warna' dalam program ini.

"Kita mahu pelajar tahu sejarah negara sebab kita tahu ada yang tidak berminat dan fikir ia (subjek Sejarah) membosankan, sebab itu kita terap elemen yang pelbagai," katanya ketika dihubungi.

Nor Hisham berkata, antara pengisian program termasuk bicara sejarah, pameran relik perang, demonstrasi pemuliharaan bahan arkib, artifak sebenar, kuiz serta hiburan iaitu karikatur dengan menjemput pelukis.

Katanya lagi, bagi menambah keunikan tentang sejarah, mereka juga berpakaian lengkap uniform tentera zaman Perang Dunia Kedua.

"Kita mahu tambah pengisian dan daya penarik, mereka dapat lihat sendiri dan cuba eksperimen yang dijalankan oleh pihak Arkib Perak misalnya.

"Sebelum ini hanya dianjurkan pameran kecil-kecilan, tapi kali ini ada bantuan dan sokongan pihak Arkib, PPD dan NGO.

"InsyaAllah usaha ini akan diperluaskan di peringkat yang lebih tinggi, baik daripada pihak PPD atau Arkib sendiri, inilah yang kita mahu demi generasi akan datang celik sejarah," katanya lagi.


Nor Hisham yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya berkata program itu dirasmikan Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, Shahida Mohamad Salleh.

Turut sama, Pengetua SMK Kampar, Shohaily Md Noor dan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya, Shaharom Ahmad.

Sementara itu Nor Hisham berkata, Shaharom akan menjelajah ke beberapa negeri di Malaysia untuk menjalankan program yang bertemakan pameran artifak dan sejarah peperangan.

"Dia sememangnya aktif menjalankan program membabitkan warisan dan sejarah, kecintaannya pada warisan negara begitu mendalam.

"SMK Kampar merupakan persinggahan pertamanya dan selepas ini dia akan ke 20 buah sekolah di seluruh Malaysia, khusus untuk program tersebut.

"Dia akan memberi penerangan dan pamerkan sejarah peperangan di negara ini, selain artifak dan uniform tentera.

"Harapnya usaha itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan orang ramai," katanya lagi.


SUMBER: Aida Aziz (Astro Awani)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan