KUALA LUMPUR: Penggunaan warna terang berkonsepkan elemen klasik dan tradisional seperti motif batik dan kebaya pada mangkuk tingkat keluli menjadikan bekas makanan warisan itu tampil lebih unik dan pastinya menawan hati sesiapa yang melihat.
Dihiasi lukisan tangan pelbagai corak dan motif melambangkan identiti seni budaya Malaysia, menggunakan pewarna bebas toksik menjadikan bekas makanan yang juga dikenali sebagai 'tiffin' itu tampil lebih istimewa, tampak mewah dan tidak lapuk ditelan zaman.
Pengasas syarikat keusahawanan sosial, JEiWA Global Resources Ina Fadilah Mohamed Nizar berkata idea untuk memulakan perniagaan mangkuk tingkat pada 2018 tercetus ketika menikmati juadah di dalam bekas makanan itu semasa menaiki kereta api.
"Waktu itu, rasa macam seronok pula makan dalam mangkuk tingkat, terimbau nostalgia zaman dulu-dulu, tapi mungkin lebih menarik sekiranya bekas itu dihias dengan corak dan warna.
"Kebetulan saya sedang mencari idea perniagaan bagi mengumpul dana untuk menubuhkan pusat komuniti integrasi JEiWA Power House, bertujuan memperkasa wanita termasuk golongan profesional dan berkerjaya yang pernah terlibat dengan keganasan rumah tangga," katanya kepada Bernama.
Menambah seri bekas hidangan makanan itu, ia turut diwarnai dengan warna terang seperti biru, jingga, merah selain warna pastel yang tampak lebih klasik.
"Bagi setiap bekas, pelukis mengambil masa sekitar 30 minit ke sejam untuk proses melukis dan mewarna bergantung kepada karya, sebelum dikeringkan," katanya.
Selain mangkuk tingkat, jenama itu turut menawarkan pelbagai jenis bekas makanan aneka saiz dan bentuk daripada material dan konsep yang sama bermula daripada harga RM269.
Bekas pegawai tadbir diplomatik itu berkata matlamatnya mewujudkan mangkuk tingkat yang dijenamakan sebagai Tiffin JEiWA itu bukanlah mahu mengaut keuntungan semata-mata sebaliknya memberi impak dan membentuk ekosistem bagi membantu menaikkan taraf hidup masyarakat dengan sokongan pemasaran dan latihan.
"Objektifnya antara lain memberi peluang pekerjaan kepada pelukis termasuk pelukis kaligrafi, mural malahan warga emas dan ibu tunggal yang berbakat.
"Kita sebenarnya ada ramai pelukis berbakat tapi mereka tiada idea terutama untuk menggabungkan nilai komersial dalam karya bagi menarik pelanggan," katanya yang juga membuka ruang kepada kaum wanita menjana pendapatan menerusi komisen jualan produk.
SUMBER: Astro Awani, Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan