KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang aeroangkasa dengan keupayaan yang dimiliki dalam sektor avionik, namun ia memerlukan dorongan serta sokongan yang bersesuaian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries, Prof Temel Kotil, berkata pihaknya dapat membantu Malaysia melonjakkan potensinya untuk menjadi pemain besar bidang tersebut di rantau ini.
"Banyak persamaan yang dikongsi antara negara ini (Malaysia) dengan Turki membolehkan jalinan kerjasama antara syarikat kami dengan syarikat tempatan, yang sudah bermula sejak beberapa tahun ini, bertambah mekar.
“Untuk program pesawat pejuang generasi ke-5, kira-kira 60 peratus daripadanya adalah tentang elektronik - komputer penerbangan, sensor, radar - dan visi panjang kami adalah semua produk tersebut akan datang dari Malaysia.
“Kenapa Malaysia? Inisiatif kerajaan anda dalam industri aeroangkasa, asas anda dalam elektronik serta perniagaan dan reka bentuk daripada kami. Saya rasa ini membentuk gabungan yang baik," katanya dalam program Agenda AWANI di sini, malam ini.
Malah katanya, hasil eksport dalam bidang berkenaan yang lebih mudah didapati di Malaysia berbanding di Turki dengan kos yang berpatutan, antara faktor utama yang membuatkan syarikat tersebut memilih Malaysia sebagai pangkalan mereka di rantau ini.
Maka jelas Temel, perkara-perkara tersebut, iaitu dasar kerajaan, polisi syarikat serta gerak kerja di peringkat akar umbi dan segala yang berkaitan perlu diselaraskan untuk membentuk ekosistem yang diperlukan untuk manfaat kedua-dua negara.
SUMBER: Astro Awani oleh Israr Khalid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan