28 Januari 2022

Artikel Menarik - Habitat asal diceroboh punca harimau masuk kampung

 


GUA MUSANG - Masyarakat orang asli di sini mendedahkan harimau belang yang berkeliaran dan masuk ke kawasan kediaman penduduk berlaku selepas habitat semula jadi diceroboh.

Perkara itu didedahkan oleh seorang penduduk dari Kampung Tendrik, Pos Bihai, di sini, Osman Perik semasa ditemubual oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa).

"Aktiviti pembalakan telah memusnahkan tempat tinggal harimau dan di kawasan tersebut ada satu gua yang sangat besar.

"Banyak harimau tinggal di situ. Namun sejak diceroboh, harimau telah bertindak keluar dari kawasan tersebut. Siapa tak marah kalau tempat mereka diganggu. Begitu juga dengan harimau," katanya menerusi temubual yang dilakukan oleh Kuasa melalui satu video yang dikongsi di laman sosial.

Menurutnya, disebabkan situasi itu haiwan berkenaan marah lalu masuk ke kawasan kediaman penduduk.

Katanya, pandangan itu hasil 'kajian' yang dibuat oleh penduduk orang asli di kawasan berkenaan.

Anak mangsa korban harimau, Jeneli Anek berkata, semua kawasan hutan di hulu Kelantan khususnya Gua Musang telah diteroka.

Dia berkata, jika sebelum ini kawasan tersebut dipenuhi dengan hutan namun ia sudah berubah ketika ini.

 

SUMBER: Sinar Harian oleh Hazelen Liana Kamarudin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan