28 Disember 2018 3:00 AM
MANILA - Gunung berapi paling aktif di Filipina, Gunung Mayon mula memuntahkan kepulan debu putih setinggi 500 hingga 600 meter dari kawahnya pagi semalam, lapor agensi berita Xinhua yang memetik seorang pakar tempatan.
Pakar gunung berapi di Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), Eduardo Laguerta memberitahu Xinhua bahawa letusan air bawah tanah atau letupan disebabkan tekanan wap air berlaku pada pukul 8.17 pagi dan 8.28 pagi (waktu tempatan), namun tiada letusan besar dijangka berlaku.
Phivolcs menyatakan gunung berapi itu berada pada tahap aktif sederhana menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada penduduk setempat agar menjauhi zon seluas 6 kilometer (km) di sekeliling Gunung Mayon.
Gunung berbentuk kon setinggi 2,460 meter itu terletak di wilayah Albay, 300km dari ibu negara Filipina, Manila di Pulau Luzon.
Dalam satu buletin yang dikeluarkan semalam, Phivolcs memberi peringatan bahawa satu letusan mengejut, tumpahan lahar, aliran debu piroklastik tebal dan hujan debu boleh terjadi serta membahayakan kawasan atas dan pertengahan gunung berapi itu.
Institut berkenaan turut merekodkan satu kejadian gempa gunung berapi dalam tempoh 24 jam sebelum letupan disebabkan wap air itu.
Gunung Mayon terkenal dengan bentuk kon yang hampir sempurna tetapi mempunyai sejarah panjang 51 letusan sepanjang 400 tahun lalu yang meragut banyak nyawa. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan