20 November 2018 2:00 AM
BEIJING – Sebuah bandar di wilayah Xinjiang, pedalaman barat China, mengarahkan orang ramai yang diracun oleh ‘fahaman ekstremis, keganasan dan pemisahan’, berhubung dengan kumpulan pengganas luar negara atau mengamalkan ajaran ‘Islam konservatif’ supaya menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Mereka yang menyerah diri dalam masa 30 hari dan mengaku kesalahan masing-masing akan diberikan kelonggaran dan mungkin tidak akan dikenakan hukuman, demikian menurut notis yang disiarkan di akaun media sosial rasmi pentadbiran bandar Hami.
Beijing berdepan kecaman oleh kumpulan aktivis dan kerajaan asing berhubung penahanan beramai-ramai dan pemantauan ketat terhadap penduduk minoriti Islam Uighur dan etnik lain yang menetap di Xinjiang. China bagaimanapun menolak kritikan tersebut.
“Semua individu yang terlibat dengan jenayah pengganas dan diracun oleh ‘tiga kuasa jahat’ digesa menyerah diri kepada organisasi kehakiman dalam tempoh 30 hari dan mengaku kesalahan mereka memberikan fakta tentang jenayah mereka,” kata notis di bandar Hami tersebut.
Menurutnya, mereka yang perlu menyerah diri adalah individu yang berhubungan dengan kumpulan pengganas luar negara atau mengamalkan ajaran Islam konservatif.
Ia termasuk menasihati orang ramai supaya hidup berlandaskan al-Quran, menghalang seseorang daripada menonton televisyen dan mengharamkan arak, rokok serta tarian semasa majlis perkahwinan.
Mereka yang menyerah diri dalam masa yang ditetapkan pula akan diberi kelonggaran dan tidak akan dihukum sekiranya maklumat yang disalurkan berguna kepada pihak berkuasa. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan