44 orang ditembak, lima penduduk terbunuh di bandar raya AS kelmarin
WASHINGTON – Seramai 44 orang ditembak dan lima orang maut di kota raya Chicago kelmarin, lapor media Amerika Syarikat (AS) dalam gelombang keganasan yang disifatkan oleh polis sebagai ‘tidak boleh diterima sama sekali’.
Ketua polis Chicago, Fred Waller memberitahu sidang akhbar tengah hari kelmarin bahawa sesetengah kejadian tembakan itu dirancang dan mempunyai kaitan dengan perbalahan antara geng penjenayah.
“Bandar raya Chicago mengalami malam yang ganas. Insiden tembakan sama ada secara rawak atau terancang di jalan-jalan di kota raya ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Saluran berita CNN melaporkan berbilang insiden tembakan berlaku antara tengah malam hingga pukul 2 pagi kelmarin (waktu tempatan) dengan 10 kes berlaku dalam masa hanya tiga jam dari pukul 1.30 pagi.
Lelaki-lelaki bersenjata menyasarkan beberapa kumpulan termasuk orang ramai yang pulang selepas menghadiri majlis pengebumian, kata polis sambil menambah, seorang budak lelaki berumur 11 tahun merupakan antara mangsa yang cedera.
Kota metropolitan Chicago menyaksikan bilangan pembunuhan paling hampir memecahkan rekod terburuk 20 tahun lalu pada tahun 2016.
Waller bagaimanapun berkata, insiden tembakan di Chicago berkurangan sebanyak 30 peratus sepanjang tahun ini, manakala kes bunuh menurun 25 peratus.
“Angka ini bukanlah satu kejayaan tetapi ia menunjukkan kita menuju ke haluan yang betul,” katanya.
Waller juga berkata, lebih 5,500 senjata api haram telah dirampas di bandar raya itu sepanjang 2018.
“Saya berjanji bahawa kita tidak akan ditewaskan. Kita semua tinggal di bandar raya ini. Kita semua mahu supaya Chicago menjadi lebih selamat,” tambahnya. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan