Ia juga bertujuan menangani kelemahan dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang digunakan sejak 1970-an selain cukai bertindih atau bertingkat, pemindahan harga dan nilai, tiada pelepasan lengkap barang dieksport, isu-isu klasifikasi dan sebagainya.
SST yang dikenakan meliputi cukai jualan pada kadar 5 peratus, 10 peratus dan spesifik serta cukai perkhidmatan sebanyak 10 peratus manakala kadar standard 6 peratus dikenakan untuk GST dengan barangan serta perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai tersebut.
Berikutan pelaksanaan GST mulai April 2015, dilaporkan sebanyak RM27 bilion berjaya dikutip pada tahun 2015, RM41.2 bilion (2016) dan RM44 bilion (2017).
Bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan GST akan dikenakan pada kadar sifar dan diguna pakai di seluruh negara mulai 1 Jun depan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, langkah itu secara teknikal bermakna GST telah dihapuskan dan akan digantikan dengan SST.
“Orang ramai percaya bahawa GST adalah punca kenaikan harga barangan di pasaran, malah kenaikan yang melebihi pertumbuhan gaji itu menyebabkan kuasa membeli menurun dan memberi tekanan kos hidup kepada isi rumah,” katanya.
Mohd. Yusof menegaskan, kos sara hidup tidak menjadi masalah di Malaysia jika kadar pertumbuhan pendapatan lebih tinggi berbanding dengan peningkatan harga.
Sehubungan itu, beliau berkata, faktor GST tidak memberi kesan yang signifikan kepada kos sara hidup memandangkan peningkatan harga bukan disebabkan oleh sistem percukaian itu semata-mata.
“Secara prinsipnya, kos GST yang dibayar oleh perniagaan lebih rendah berbanding SST kerana ia adalah cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah yang dijana pada setiap rantaian bekalan.
“Apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk menurun tetapi ini tidak berlaku selepas tiga tahun pelaksanaan GST,” katanya.
Harga meningkat
Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian menunjukkan terdapat empat faktor mengapa harga barangan terus meningkat selepas pelaksanaan GST.
“Pertama, kadar kepatuhan perniagaan kepada sistem GST masih rendah dengan tidak sampai 50 peratus daripada firma mendaftar sedangkan andaian yang digunakan bila GST dilaksanakan ialah kepatuhan 100 peratus.
“Kedua, penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berwajib menyebabkan berlakunya manipulasi harga di pasaran dan faktor ketiga melibatkan kadar pemahaman yang masih rendah oleh perniagaan, pengguna dan pihak berwajib terhadap sistem percukaian kepenggunaan berkenaan,” katanya.
Mohd. Yusof menambah, faktor keempat iaitu tekanan harga adalah ekoran kelemahan nilai ringgit yang menyebabkan import menjadi lebih mahal, upah minimum yang meningkatkan kos buruh dan struktur pasaran yang bersifat monopoli.
“Faktor pertama hingga ketiga tidak lagi relevan apabila GST dimansuhkan tetapi faktor keempat masih relevan.
“Impak ke atas harga akibat penghapusan GST mungkin tidak terkesan ataupun hanya bersifat minimum kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan kos pengeluaran akibat daripada kos import bahan mentah dan kos buruh.
“Selain itu, sifat pasaran yang bersifat monopoli juga menekan perniagaan kecil dan sederhana untuk bersaing dengan lebih kompetitif,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah di Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Nur Azura Sanusi berkata, dalam usaha untuk menangani kos sara hidup yang menghimpit rakyat pada hari ini, kerajaan perlu memberi perhatian kepada komponen-komponen utama perbelanjaan terbesar pengguna.
Perbelanjaan
“Berdasarkan penemuan utama Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 2016 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata Malaysia telah meningkat daripada RM3,578 pada tahun 2014 kepada RM4,033 pada tahun 2016.
“Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain merupakan perbelanjaan yang tertinggi dengan 24 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penggunaan. Ia diikuti dengan makanan dan minuman sebanyak 18 peratus, pengangkutan (13.7 peratus) serta restoran dan hotel (13.4 peratus).
“Selain restoran dan hotel yang dilihat sebagai perbelanjaan gaya hidup, tiga komponen lain merupakan perbelanjaan asas dan kepentingan yang perlu diberi perhatian pihak berwajib,” katanya.
Nur Azura menjelaskan, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barangan dengan sebahagian besar disebabkan oleh faktor harga minyak yang memberi kesan terhadap kos pengangkutan, tol dan sebagainya.
“Namun, malangnya harga minyak mentah yang lebih rendah sebelum ini tidak diterjemahkan dalam bentuk penurunan harga barang.
“Selain itu, barangan juga berkos lebih tinggi ekoran permintaan yang lebih tinggi berbanding penawaran khususnya pada musim perayaan, kesan kelemahan mata wang tempatan berbanding mata wang asing yang memberi impak terhadap kos pengimportan barangan serta sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Mengambil kira pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa jumlah hutang negara kini mencecah RM1 trilion, beliau bagaimanapun berharap kerajaan mempertimbangkan pemansuhan GST dan memperhalusi serta menjadikannya sebagai satu cukai yang bersifat progresif berbanding regrasif sebelum ini yang memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah.
“GST terbukti memberi pendapatan yang lebih banyak kepada negara berbanding SST tetapi GST bersifat regresif. Sekiranya GST diteruskan, mekanisme yang baharu harus dibentuk agar benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar,” katanya.