07 November 2017

Artikel Menarik (Oktober 2017) - Tenggelam ketulan abu di Selat Melaka

Oleh SITI AMINAH MOHD. YUSOF


Abu al-Quran dicampur dengan sedikit air dan diadun dengan gerudi pengisar.



SEKALI pandang bingkai kaca memaparkan ayat Kursi dan ukiran kayu kaligrafi tertera kalimah syahadah disusun di atas rak bertingkat itu kelihatan masih elok biarpun keadaannya sedikit berdebu.
Hakikatnya, hiasan mengandungi ayat al-Quran itu berkeadaan sedemikian kerana mengandungi pelbagai kesilapan seperti khat penulisan tidak memenuhi keperluan Rasm Uthmani, tanda bacaan dan cetakan huruf tidak jelas menyebabkan ayat-ayat tidak boleh dibaca dengan tepat.
Nasib serupa turut menimpa beberapa buah al-Quran bersaiz telapak tangan yang berada di rak tersebut. Ia tampak masih baharu dengan halaman berwarna-warni.
Namun, setelah diamati oleh mereka yang mahir dalam bacaan al-Quran, naskhah berkenaan disahkan mempunyai kesilapan terutama dari aspek penggunaan tanda baca dan arahan kod warna pada tulisan yang mengelirukan pembaca.
Presiden Persatuan Qiraat Malaysia (PQM), Ustaz Mohd. Rahib Mohd. Isa berkata, biarpun barang hiasan dan naskhah al-Quran itu mempunyai kesalahan dan tidak boleh digunakan, ia tidak boleh dibuang atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.
“Disebabkan itu, PQM mengambil inisiatif memperkenalkan Perkhidmatan Pelupusan Al-Quran bagi melupuskan al-Quran lama yang telah rosak dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi tulisan al-Quran.
“Ia perlu dilupuskan mengikut garis panduan dan prosedur ditetapkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan 1992 bersandarkan syariat Islam,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Rawang, Selangor baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, terdapat dua kaedah untuk melupuskan al-Quran iaitu cara pertama, mushaf yang rosak perlu dibakar dan ditanam pada kedalaman sama seperti jasad manusia yang disemadikan di tanah perkuburan.
“Kawasan tersebut perlulah terkawal seperti dipagar, tidak dipijak, dilangkah atau menjadi tempat membuang air kecil dan besar. Cara ini mungkin agak sulit dilakukan pada masa sekarang kerana kawasan tanah yang terhad.
“Cara kedua mengikut sejarah sahabat Nabi ialah membakar secara menyeluruh dengan abunya dilepaskan ke laut atau sungai yang mengalir. Kaedah ini diguna pakai di pusat ini,” katanya.
Tambahnya, bagi segelintir umat Islam yang memilih untuk melupus sendiri, helaian kertas yang terdapat ayat al-Quran tidak mampu hancur sepenuhnya jika dibakar dengan cara biasa.
Disiplin

DUA relau pembakar ini dilengkapi laci khas yang dapat memisahkan abu selepas kertas bercetak dibakar.


Malah, serpihan kertas mudah berterbangan dengan kesan petikan ayat masih kelihatan pada abunya. Ada juga abu al-Quran dibuang begitu sahaja di longkang atau parit dan akhirnya bercampur dengan sampah sarap.
Justeru, penubuhan pusat tersebut turut bertujuan mendisiplinkan masyarakat mengenai tatacara mengurus al-Quran selain memberi kemudahan kepada masyarakat terutamanya di kawasan Rawang, Hulu Selangor dan Selayang.
Memulakan operasi sejak Mei 2016, PQM telah berjaya melupuskan 15,000 kilogram (kg) bahan bercetak tulisan al-Quran dengan pusat tersebut mampu memproses antara 300 hingga 400kg setiap hari.
Sebahagian besarnya dihantar oleh syarikat percetakan dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, masjid, institusi pengajian seperti Darul Quran serta sekolah yang turut melupuskan kertas peperiksaan serta kitab mengandungi ayat al-Quran dan individu persendirian.
Pihaknya turut menerima bahan bercetak dalam pelbagai medium seperti kertas, bingkai logam, kayu dan kulit haiwan.
Kadar bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan tersebut ialah RM4 hingga RM7 sekilogram.
Bakar secara manual

Pusat pelupusan al-Quran milik PQM di Rawang, Selangor ini mampu mengendalikan 300 hingga 400kg bahan bercetak al-Quran setiap hari.


Mohd. Rahib bercerita, pusat itu membeli dua buah insinerator atau relau pembakar daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan melakukan beberapa modifikasi untuk menyesuaikan operasi melupus al-Quran di PQM.
“Kami tidak menggunakan gas atau elektrik sebaliknya proses membakar dilakukan secara manual menggunakan api biasa. Ia dilakukan tiga petugas secara tetap.
“Sesetengah premis juga bertindak meracik al-Quran untuk memudahkan proses pelupusan. Namun, PQM tidak melakukannya. Bagaimana keadaan kami terima sesebuah al-Quran begitulah jugalah bentuknya ketika dibakar.
“Melalui penyelidikan yang dilakukan, kami dapati dakwat al-Quran itu sendiri mempercepatkan proses pembakaran tanpa penggunaan bahan lain. Selain itu, kemahiran mengawal api amat penting,” jelasnya.
Beliau berkata, selepas al-Quran dibakar sehingga menjadi abu putih atau kelabu muda, ia akan disejukkan sebelum dicampur dengan sedikit air dan diadun menggunakan mesin gerudi pengisar sebelum dituang ke dalam acuan untuk dijemur di bawah cahaya matahari.
“Abu itu akan mengeras seperti simen dan tempoh masa pengeringan sekitar lapan jam. Tujuannya ialah apabila ia dilepaskan ke laut, abu itu terus tenggelam kerana sifatnya yang berat serta kukuh sekali gus tidak bertaburan ke permukaan air atau dihanyutkan semula ke darat.
Kerjasama

PQM bekerjasama dengan JAIS dan APMM ketika proses membuang ketulan abu di Selat Melaka baru-baru ini.


“Kaedah ini terbukti berjaya apabila kami melepaskan abu al-Quran di Selat Melaka buat pertama kali dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Maritim Malaysia (APMM) September lalu.
“Terdahulu kami dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia KD Sri Klang menuju ke Pulau Angsa kerana jarak pelepasan abu al-Quran harus melebihi 12 kilometer dari pesisiran pantai,” tuturnya.
Sementara itu, seorang petugas, Shahrizal Mohamed Salleh, 37, berkata, proses melakukan kerja-kerja melupuskan al-Quran perlu dilakukan dengan cermat, tertib dan tidak tergopoh-gapah.
Beliau yang juga merupakan bilal di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa, Rawang berkata, antara rutin yang diamalkannya ialah memegang al-Quran dengan tangan kanan, berwuduk dan membaca al-Fatihah ketika memulakan kerja.
“Proses pertama yang dilakukan ialah memeriksa bahan-bahan bercetak yang diterima supaya tidak bercampur dengan bahan buangan lain.
“Antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan ialah terjumpa pelbagai petua orang dahulu yang menggunakan potongan ayat suci diselit di dalam al-Quran. Ia saya simpan baik-baik kerana ada di antaranya boleh diamalkan.
“Selama lebih setahun melakukan kerja ini, pernah tangan saya melecur selepas api menyambar sarung tangan dan ia menjadi pengajaran untuk lebih-lebih berhati-hati pada masa hadapan,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4xllYsIPj 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan