SUASANA dalam metro atau kereta api bawah tanah di kota Helsinki, Finland pada pagi itu sesak dengan penumpang. Namun, masing-masing membatukan diri dan asyik dengan telefon pintar di tangan.
Ada yang membaca berita dalam talian, memeriksa e-mel dan menonton video menerusi peranti mudah alih itu.
Di satu sudut, jeritan kuat seorang kanak-kanak kecil memecah kebungkaman dalam kenderaan awam tersebut.
Percubaan ibunya memujuk kanak-kanak yang meragam itu dengan memberinya gajet ternyata berjaya.
Finland, bekas peneraju dunia dalam arena telefon mudah alih melalui jenama Nokia berada dalam kelasnya tersendiri apabila berbicara mengenai kadar penggunaan internet pada telefon pintar dan tablet.
Memasuki separuh pertama 2016, pakar telekomunikasi Sweden, Tefficient menyatakan, Finland menggunakan hampir dua kali ganda data mudah alih berbanding Korea Selatan yang menduduki tempat kedua dalam perbandingan melibatkan 32 negara Eropah dan Asia.
Perkara itu menarik perhatian jabatan kesihatan dan perkhidmatan sosial bandar Helsinki yang melancarkan video bagi mengingatkan ibu bapa tentang keutamaan dalam hidup mereka.
Begitupun, video kempen yang memaparkan seekor burung raven menyambar seorang kanak-kanak perempuan di tepi pantai ketika ibunya leka bermain telefon pintar membangkitkan kemarahan ramai.
Mereka memberi maklum balas negatif terhadap pengunaan wanita sebagai watak utama kempen berkenaan.
Jabatan berkenaan mempertahankan kempen mereka dan menyatakan situasi itu bagi menunjukkan sesetengah kaum ibu banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding bersama anak-anak.
Seorang ibu, Anna Andersson, 33, ketika ditemui bersama bayinya yang berusia enam bulan memberitahu, dia tidak terasa hati dengan kempen tersebut.
“Pada pandangan saya, mesej yang dibawakan video kempen itu ada benarnya juga. Saya sendiri banyak menggunakan internet menerusi telefon berbanding komputer riba.
Meningkat
“Begitupun, aktiviti itu sudah dikurangkan sejak saya mempunyai anak,” katanya.
Syarikat operator jalur lebar terbesar Finland, Elisa menyatakan, ibu bapa dilihat menurut jejak langkah anak remaja mereka dalam menggunakan lebih banyak kandungan internet beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua langganannya, Matias Castren memberitahu, penggunaan data meningkat terutamanya pada waktu malam.
“Daripada golongan remaja sehinggalah pesara, mereka cenderung melihat filem, klip video atau melayari media sosial berbanding menonton televisyen.
“Pertumbuhan terpantas dalam penggunaan data adalah melihat imej secara langsung atau video,” ujarnya.
Beberapa faktor boleh menjelaskan kecintaan rakyat Finland terhadap telefon pintar.
Sejak zaman kegemilangan Nokia, rakyat Finland menunjukkan minat yang tinggi dalam menerima pakai teknologi baharu.
Musim sejuk yang teruk di negara itu memerlukan infrastruktur yang baik. Lantaran itu, Finland telah membangunkan rangkaian mudah alih dengan liputan terbaik bagi seluruh negara itu.
Selain itu, warga Finland juga disifatkan sebagai introvert dengan sesetengah mereka mengakui lebih selesa berhubung melalui internet berbanding panggilan telefon.
Bagi negara yang mempunyai populasi 5.5 juta itu, terdapat 10.9 juta pelan sambungan mudah alih didaftarkan. Ia menunjukkan terdapat individu menggunakan lebih daripada satu sambungan internet.
Seorang pengguna, Hannele Houston, 34, ialah contoh yang sempurna. Dia memiliki sebuah telefon pintar dan tablet dengan kedua-duanya memiliki sambungan internet.
“Saya membaca berita dan mencari laluan peta menggunakan telefon sementara mendengar muzik, membayar invois dan mencari resipi di tablet,” katanya.
Faktor utama pengguna di Finland menggunakan data adalah disebabkan mereka mendapat akses kepada sambungan pantas pada harga mampu milik.
Menurut analisis perbandingan oleh Tefficient, pengendali yang mengenakan caj tertinggi untuk data gigabait mudah alih di Belanda adalah 14 kali lebih mahal berbanding Finland yang merupakan negara paling murah daripada 32 negara.
Pakej tanpa had
“Pasaran Finland menunjukkan perbezaan ketara dengan negara lain. Kita mempunyai banyak pelan data yang menawarkan pakej tanpa had,” jelas pengurus operator Finland Sonera, Kalle Muhonen.
Statisitik daripada Autoriti Peraturan Komunikasi Finland mengesahkan perkara berkenaan.
Lebih daripada separuh pengguna di negara itu melanggan pelan data tanpa had pada harga tetap setiap bulan.
Seorang pelanggan yang berpuas hati dengan kemudahan tersebut, Inam Alam, 13, menunjukkan permainan baharu yang baru dimuat turun daripada telefon pintar miliknya.
“Kadang-kadang saya menerima beratus-ratus mesej sehari di media sosial. Ia sesuatu yang normal.
“Pada masa kini, kami menggunakan telefon termasuk melakukan tugasan sekolah. Contohnya, mempelajari perkataan baharu di kelas bahasa dan kami membuat latihan menerusi permainan dalam talian,” ujarnya. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4Up3Pi0Zf
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan