
OSMAN menganggap peristiwa pahit yang pernah dialami sebelum ini mengajarnya tentang erti kehidupan.
PANDANGANNYA jauh dilemparkan ke luar jendela. Ragam anak-anak pelarian Rohingya yang sedang bermain di tepi jalan kawasan Pasar Borong Selayang, Selangor diperhatikan dalam diam.
Bagi Mohd. Osman Hashim, 19, dia menyifatkan hidup kanak-kanak itu lebih bertuah berbanding dirinya kerana mereka masih berpeluang merasai nikmat zaman kanak-kanak biarpun hidup dalam serba kedaifan.
“Sewaktu masih kecil, saya sudah perlu bekerja untuk menyara kehidupan sendiri. Saya tidak pernah mengenali keseronokan zaman kanak-kanak apatah lagi memiliki rakan-rakan sepermainan,” ujarnya membuka bicara.
Berhijrah ke Malaysia dari Myanmar bersama ibu saudara ketika berumur lima tahun selepas kematian kedua-dua orang tuanya, Mohd. Osman atau mesra disapa Osman memberitahu, dia sudah lali hidup di jalanan.
“Saya sangka mak cik akan beri kehidupan yang lebih baik tetapi sangkaan saya meleset. Dia menyuruh saya mencari wang tambahan untuknya dengan mengutip tin dan botol kosong.
“Jadi, awal-awal pagi sebelum lori sampah datang, saya akan menelusuri lorong-lorong gelap di belakang kedai untuk mengutip barangan terpakai itu,” ceritanya yang fasih berbahasa Melayu.
Niat jahat
Lebih malang, Osman bukan sahaja tidak diberi upah, malah dia juga dilarang makan serta naik ke rumah jika gagal mendapatkan hasil jualan berjumlah RM50 ke atas.
“Mak cik akan memarahi, merotan dan mengunci saya seorang diri di luar rumah. Oleh kerana saya tiada tempat lain untuk dituju, saya tidur sahaja di tangga sehingga keesokan hari,” katanya yang terpaksa menjalani kehidupan malang itu sehingga berumur tujuh tahun.
Osman memberitahu, dek kerana sentiasa dibayangi rasa takut dan gelisah kalau-kalau hasil jualan barangan terpakai itu tidak banyak seperti yang dikehendaki ibu saudaranya, dia tekad melarikan diri daripada wanita tersebut.
“Hari itu, saya tidak balik ke rumah itu lagi, sebaliknya membawa diri ke tempat lain. Saya tinggal di kaki lima dan bekerja di bengkel motosikal selama beberapa bulan. Nasib saya baik kerana dipertemukan dengan seorang lelaki Indonesia yang dikenali sebagai Nordin.
“Dia membawa saya tinggal bersamanya di sebuah rumah pangsa. Walaupun rumahnya agak sempit dan dihuni beberapa warga Indonesia lain, saya tidak kisah kerana sekurang-kurangnya saya ada tempat berteduh,” cerita Osman.

HIDUP Osman lebih terjamin selepas tinggal dan bekerja sebagai tukang masak di Madrasah Hashimiah.
Kebahagiaan Osman tidak bertahan lama selepas Nordin memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya di Medan. Pun begitu, Osman tetap bernasib baik kerana salah seorang kenalan Nordin warga Myanmar, Husin bersetuju mengambilnya sebagai adik angkat.
Hajat murni lelaki itu bagaimanapun sekadar mahu menutup niat jahatnya yang ingin mempergunakan Osman untuk tujuan lain.
“Saya disuruh bekerja di gerai makannya. Di situ saya dikerah untuk melakukan berbagai-bagai pekerjaan termasuk menebar roti canai, mencuci pinggan mangkuk, mengelap meja dan mengambil pesanan.
“Seperti mak cik, Husin juga tidak membayar gaji kepada saya sebaliknya hanya bagi makan sebagai upah,” katanya yang hidup sedemikian selama lima tahun.
Larikan diri
Sehinggalah pada suatu hari, Husin menyatakan hasrat untuk pulang ke Myanmar buat sementara waktu. Oleh kerana tidak tahu sesiapa yang boleh menjaga Osman yang ketika itu berusia 11 tahun, dia menghantarnya ke Madrasah Hashimiah di Kompleks Pasar Borong Selayang.
“Memandangkan saya tidak tahu membaca, menulis dan mengira, dia pesan supaya belajar semua itu sementara ketiadaannya supaya senang mencari pekerjaan kelak,” ujar Osman yang turut mengakui, tidak tahu mengaji al-Quran serta menunaikan solat.
Selepas hampir setahun, Husin kembali ke Malaysia untuk menuntut penjagaan Osman daripada pengetua madrasah, Hashim Kassim.
“Dia tipu ustaz kononnya mahu menjaga saya sebaik-baiknya. Selepas dibawa pergi, saya dibawa menaiki bas dan ketika itulah saya terdengar perbualannya di telefon tentang pekerjaan yang diaturkan di Johor Bahru, Johor.
“Tiba-tiba timbul rasa tidak sedap hati. Mengenali Husin sejak sekian lama, saya dapat mengagak dia mahu mempergunakan saya untuk kepentingannya sahaja,” kata Osman yang kemudiannya berjaya melarikan diri.
“Tanpa satu sen dalam tangan, saya menahan teksi dan meminta pemandunya menghantar saya ke pulang ke madrasah seperti alamat yang diberikan. Syukurlah pemandu teksi tersebut tidak keberatan untuk membantu,” ujarnya.
Kini selepas hampir lapan tahun menetap di Madrasah Hashimiah, Osman mengakui, kehidupannya di situ jauh lebih baik berbanding di luar kerana berpeluang merasai hidup dalam suatu keluarga besar selain dapat menimba ilmu pengetahuan.
“Saya diambil bekerja sebagai tukang masak di sini dan diberi gaji tetap. Lebih bertuah, saya juga menjadi anak angkat kepada Hashim. Pengalaman pahit yang dilalui selama ini mematangkan saya dan menjadikan saya lebih dekat kepada Allah,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz4W9cb80r7
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan