MELIHAT kelibat ikan lumba-lumba bermain-main di permukaan air pastinya menjadi antara kenangan terindah bagi sesiapa sahaja yang pertama kali melihat spesies laut tersebut.
Bagi sesetengah individu, pengalaman dapat melihat hidupan laut comel itu mungkin hanya dapat ditatap dalam rancangan dokumentari di televisyen atau jika berkunjung ke luar negara sahaja.
Namun, ia bukan satu perkara asing kepada Pengerusi Persatuan Hijau dan Hidupan Liar Negeri Perlis (PNW), Syamil Abdul Rahman, 28, apabila kerap terserempak dengan hidupan tersebut yang dilihat bukan melalui kaca televisyen mahupun di luar negara, tetapi di Malaysia sendiri terutamanya di Kuala Perlis.
“Salah satu keistimewaan yang terdapat di Kuala Perlis ialah kewujudan ikan lumba-lumba sejak 1960-an lagi,” katanya mendedahkan perkara tersebut sewaktu ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Tambahnya lagi, penduduk Perlis sendiri kebanyakannya tidak mengetahui kewujudan hidupan mamalia itu sekitar kawasan perairan di Kuala Perlis sejak sekian lama.
Syamil yang juga pengasas PNW sejak ia ditubuhkan pada Mac lalu itu mengakui bahawa kewujudan ikan lumba-lumba di Kuala Perlis merupakan suatu anugerah sementelah dirinya juga merupakan seorang pencinta alam sekitar.
“Tujuan penubuhan PNW sendiri adalah sebagai wadah bagi memelihara alam flora dan fauna di negeri Perlis,” tutur Syamil yang menubuhkan PNW bersama seorang lagi rakannya, Khairul Annuar Abas, 28.
Menyentuh tentang kewujudan ikan lumba-lumba yang terdapat di perairan Kuala Perlis, Syamil mendakwa terdapat empat spesies mamalia itu di sekitar kawasan tersebut.
“Di Pulau Batu Layang sahaja terdapat kira-kira 40 hingga 50 ekor ikan lumba-lumba di situ,” tutur Syamil menerangkan habitat ikan tersebut yang boleh ditemui di satu-satunya pulau yang terdapat di negeri Perlis.
Bagaimanapun, Syamil memberitahu, untuk melihat ikan lumba-lumba itu dengan lebih jelas, dia perlu mengikut nelayan ke tengah laut dan terpaksa menunggu selama sejam hingga ke tiga jam sebelum terserempak dengan kelibat ikan lumba-lumba tersebut.
Jelas Syamil, dia tidak menolak kehadiran ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis disebabkan faktor sumber makanan yang banyak seperti anak-anak ikan belanak, ikan kedera dan udang yang terdapat di situ.
Perubahan angin
TENGKORAK ikan lumba-lumba yang ditemui di sebuah perkampungan berhampiran pantai di Kuala Perlis. |
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Perlis, Bakri Miswan berkata, ikan lumba-lumba sering ditemui kira-kira dua batu nautika dari kawasan pantai oleh nelayan tempatan terutama di kawasan Pulau Batu Layang, Kuala Sungai Baru, Pantai Kurung Tengar dan di Kuala Perlis.
“Musim penghijrahan ikan lumba-lumba berlaku antara bulan Februari hingga Oktober setiap tahun apabila terjadinya perubahan angin serta suhu air laut.
“Menurut nelayan tempatan, ikan lumba-lumba dikesan berada di Perlis sejak awal 1960-an lagi selain pernah terserempak dengan ikan paus dan penyu,” katanya.
Dipercayai terdapat 300 hingga 400 ekor ikan lumba-lumba di Perlis dan jumlah tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding jumlah ikan lumba-lumba yang terdapat di Pulau Langkawi, Kedah.
Menurut Khairul, berdasarkan pengetahuan yang dimiliki, dia memberitahu bahawa ikan lumba-lumba sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Ikan lumba-lumba mempunyai hubungan kekeluargaan serta kasih sayang tinggi dan gemar bergerak secara berkumpulan.
“Malah, anak ikan lumba-lumba hanya akan berpisah dengan ibunya apabila berusia enam tahun,” jelas Khairul yang menambah ikan lumba-lumba akan jatuh sakit dan mati sekiranya pasangannya meninggalkan mereka terlebih dulu.
Bagi nelayan-nelayan tempatan, mereka cukup memahami dan menjaga habitat ikan lumba-lumba di Perlis dan akan melepaskan kembali hidupan laut itu sekiranya terperangkap di dalam jaring.
Mungkin disebabkan itu, terdapat cerita mendakwa ikan lumba-lumba pernah menyelamatkan nelayan yang hampir lemas di laut selepas bot mereka terbalik dipukul ombak kuat.
Tidak komersial
SEEKOR ikan lumba-lumba dirakam sedang berenang berhampiran Pulau Batu Layang dekat Kuala Perlis. |
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis, Abdul Jamil Saad berkata, kehadiran ikan lumba-lumba di Perlis sedikit sebanyak mampu meningkatkan sektor pelancongan di negeri itu.
Bagaimanapun, Abdul Jamil memberitahu, beberapa langkah perlu diambil kira bagi memperkenalkan kewujudan ikan lumba-lumba di Perlis sebagai produk pelancongan baharu di Perlis.
“Ikan lumba-lumba amat sensitif pada gangguan terutama bunyi bising dan perkara ini amat membimbangkan sekiranya ikan itu tidak lagi singgah ke sini,” kata Abdul Jamil yang merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sena, Perlis.
Dalam pada itu, Abdul Jamil ada memberi cadangan kepada orang ramai yang ingin melihat ikan lumba-lumba tersebut supaya menggunakan teropong di satu tempat khas yang akan dibina kelak.
“Sebenarnya, ikan lumba-lumba dapat dilihat dengan jelas dari pesisir pantai sahaja terutama pada waktu pagi dan petang.
“Mungkin boleh diwujudkan satu tempat khusus untuk orang ramai meneropong ikan itu dengan kadar bayaran yang minimum,” jelas Abdul Jamil yang mencadangkan pembinaan pelantar di Pulau Batu Layang untuk dijadikan tempat meneropong ikan lumba-lumba.
Menurut maklumat daripada nelayan tempatan, waktu ikan lumba-lumba biasanya dapat dilihat jelas adalah antara pukul 8 pagi sehingga 1.30 petang dan pada pukul 4 petang.
Ikan lumba-lumba atau lebih mesra dengan panggilan dolfin tergolong dalam keluarga Delphinidae bersama ikan paus pembunuh.
Haiwan jenis mamalia ini bernafas melalui lubang pernafasan yang terletak di atas kepalanya, justeru ia perlu naik ke atas permukaan laut untuk bernafas.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4NNzlVA62
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan