19 September 2016

Artikel Menarik (September 2016) - Udara kotor bunuh 10,000 orang setahun

Kota London dicemari asap diesel yang boleh menyebabkan masalah pernafasan.
bas awam berwarna merah itu terpaksa berhenti bergerak berikutan Oxford Street sesak teruk. Begitulah suasana jalan tersebut yang terletak di kota London setiap kali tiba waktu puncak.
Di kaki lima pula, ia dibanjiri oleh ribuan manusia terdiri daripada rakyat tempatan dan pelancong asing.
Datuk Bandar London yang baharu, Sadiq Khan mempunyai rancangan untuk mengubah jalan paling sibuk di ibu negara Britain itu menjadi urban oasis.
Menjelang tahun 2020, semua kenderaan akan dilarang melalui dan berada di lingkungan jarak 1.9 kilometer dari kawasan berkenaan.
“Visi saya adalah untuk melihat laluan ini dipenuhi pokok-pokok dan kemudahan siar kaki untuk keselesaan orang ramai,” katanya.
Hampir empat juta orang melawat Oxford Street setiap minggu. Pusat utama perniagaan di London itu menjana lebih AS$6.6 bilion (RM27.3 billon) setahun.
Bagaimanapun, jalan paling sibuk di London itu merupakan antara yang terkotor. Oxford Street telah digunakan sebagai jalan untuk bas dan teksi sejak abad ke-19.
Kira-kira 300 buah bas dua tingkat melalui sepanjang jalan itu pada waktu puncak, ditambah pula ia menggunakan enjin diesel berkuasa tinggi yang pasti mencemarkan alam sekitar.
Pada tahun 2014, seorang pakar kualiti udara terkemuka, David Carslaw mendapati kepekatan tertinggi di dunia Nitrogen Dioksida (NO2) adalah di Oxford Street.
Kajian tersebut dibuktikan ketika pembentangan di mesyuarat ulang tahun ke-21 Kumpulan Penyelidikan Alam Sekitar di King’s College, London.
“Pencemaran yang dihasilkan oleh asap diesel boleh menyebabkan penyakit paru-paru dan masalah pernafasan,” katanya.
Berdasarkan keadaan semasa itu, Britain kini menghadapi tuntutan mahkamah ke atas melanggar had kualiti udara Kesatuan Eropah (EU).
“Jika anda melihat kepada keperluan undang-undang di peringkat Nitrogen Dioksida khususnya, indeks pencemaran kualiti udara di Oxford Street pada minggu pertama Januari 2016 sepatutnya diperoleh dalam setahun.
“Keadaan itu membimbangkan Britain dan ia membawa kepada salah satu sebab mengapa pelan kualiti udara segera diperlukan,” ujarnya.
Udara kotor
Rakyat London membayar harga tinggi untuk udara kotor yang membunuh hampir 10,000 orang dalam setahun.
Di kawasan paling teruk terjejas di London, kanak-kanak membesar dengan masalah paru-paru, kes-kes asma dan penyakit jantung juga meningkat.
Menurut laporan portal CNN, Sadiq sendiri adalah mangsa wabak moden di London yang telah disahkan menghidap asma sewaktu remaja.
Beliau yang telah dipilih menjadi Datuk Bandar pada Jun berjanji London bakal lebih hijau dan bersih. Larangan memandu kenderaan di Oxford Street satu langkah ke arah mencapai matlamat tersebut.
Idea ini telah dipertimbangkan sejak tahun 1970-an, apabila sekatan yang ketat telah diperkenalkan untuk kereta persendirian. Begitupun, ia gagal apabila peniaga tempatan menentang kerana bimbang perniagaan mereka terjejas.
Bagaimanapun, kehadiran syarikat kumpulan peruncitan, New West End Company yang menawarkan kempen menyokong zon bebas daripada kenderaan membuatkan idea itu kembali diperkenalkan baru-baru ini.
Mengurangkan kesesakan
sadiq berjanji akan menjadikan kota London lebih hijau dan bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif New West End Company, Jace Tyrrell berkata, beliau akan terus menyokong Datuk Bandar untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Oxford Street bagi meningkatkan lagi kualiti udara bersih.
“Kami telah berkempen untuk lalu lintas dikurangkan di Oxford Street bertahun-tahun lamanya termasuk perbincangan berterusan dengan Pejabat Datuk Bandar, Pengangkutan London dan Majlis Bandaraya Westminster melalui West End Partnership.
“Kami berharap untuk melihat dan membincangkan cadangan terperinci bagi menghentikan projek di beberapa peringkat untuk mengurangkan gangguan lalu lintas,” katanya.
Pelan seterusnya adalah dengan mengurangkan sebanyak 40 peratus bas di Oxford Street, sebelum pembukaan rangkaian kereta api baharu Elizabeth Line pada 2018.
Dewan Bandaraya akan melaksanakan baik pulih laluan bas di seluruh London untuk mengalihkan bas yang tinggal.
Larangan itu akan dilaksanakan dalam dua bahagian, bermula dari Tottenham Court Road ke Oxford Circus dan kemudian ke jalan Marble Arch.
Malah, rangkaian teksi baharu juga akan disediakan di jalan-jalan tersebut.
Jika larangan kenderaan itu boleh dilaksanakan, ia boleh memberi kesan kepada peningkatan kesihatan yang baik.
The Champs Elysee di Paris menyaksikan pengurangan 30 perastus NO2 selepas sehari larangan sebahagian kereta di bandar itu.
“Jika jalan raya dapat bebas daripada kenderaan, pencemaran udara juga dapat dikurangkan dengan segera.
“Dalam tahun-tahun mendatang manfaat kesihatan akan menjadi besar,” kata Frank Kelly yang merupakan profesor persekitaran kesihatan di King’s College London.
Mengosongkan jalan juga membawa kepada ganjaran ekonomi. Stesen kereta api baharu dijangka membawa masuk lebih ramai pelawat berbanding perkhidmatan pengangkutan sedia ada dan dijangka menjana lebih AS$1.33 bilion (RM5.49 bilion) setahun.
Rancangan untuk Oxford Street adalah sebahagian daripada pakej yang lebih luas dengan pembaharuan kualiti udara.
Sadiq juga berharap untuk melaksanakan larangan kenderaan di sekitar Parliment Square di Westminster, sama seperti di Dataran Trafalgar dan South Kensington.
Malah, beliau telah merancang program Ultra Rendah Pelepasan Zon (ULEZ) 2019 dan akan memperluaskannya sehingga luar pusat bandar.
ULEZ akan mengenakan had pelepasan baharu ke atas kenderaan selaras dengan standard EU dan mengenakan caj bagi kenderaan yang tidak patuh.
Datuk Bandar itu juga bercadang untuk merangsang inovasi dalam kalangan peniaga dan melakukan perjumpaan dengan pengeluar bas.
“Jika anda boleh mereka bentuk bas elektrik, hidrogen atau sel hibrid, kami pasti menjadi pembeli terbesar nanti,” ujarnya.
Tambah Sadiq, penduduk London tidak lama lagi akan mencapai 10 juta orang dan bandar ini perlu ada inovasi bagi melindungi alam sekitar.
“Kita tidak menyedari bahawa kualiti udara adalah cabaran terbesar pada abad ke-21 dan kami akan terus mereka bentuk sebuah bandar yang sesuai,” katanya yang bercadang untuk mewujudkan laluan baharu yang menarik dan selamat untuk berbasikal serta pejalan kaki.
Pasukannya juga akan memasang meter kualiti udara di sekitar ibu negara bagi memberikan bacaan pencemaran dan menasihati pengguna untuk berjalan kaki, berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam sewajarnya.
Profesor Pengajian Pengangkutan di Kolej Universiti London, David Metz berkata, penggunaan kereta di bandar mungkin kekal merosot.
“Abad ke-20 adalah zaman kegemilangan bagi kereta, tetapi pada abad ke-21 ini, kita akan lihat penurunan penggunaan kereta di bandar-bandar seperti London,” katanya.
Dengan kepimpinan yang ada sekarang serta berpandangan jauh, kemungkinan jalan-jalan yang sesak, kotor dan berbahaya hari ini boleh menjadi sebuah kawasan perlindungan bandar pada masa akan datang


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0916&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4KirAydYW 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan