HARUMAN bau rempah-ratus serta-merta menerobos ke dalam rongga hidung kru Jurnal saat menjejakkan kaki ke pekarangan rumah pengusaha makanan tradisi itu.
Semasa penulis tiba, kelihatan seorang remaja lelaki sedang sibuk membasuh ratusan biji telur ayam dalam sebuah besen berwarna biru, manakala dua orang yang lain dilihat asyik menyediakan bahan-bahan rebusan berupa rempah sebagai bahan ramuan.
Apa yang mencuri perhatian penulis, terdapat juga daun manggis, daun jambu dan daun senduduk yang dijadikan antara ramuan untuk menghasilkan makanan tradisi tersebut.
Selesai melakukan proses mencuci telur ayam, butir-butir telur itu kemudiannya diletakkan di atas dulang berlubang-lubang menyamai saiz sebiji telur.
Bauan memikat itu benar-benar membuka selera bagi penggemar makanan tradisi yang cukup sinonim di negeri Johor itu terutama di daerah Batu Pahat dan Muar.
Makanan tradisi yang dimaksudkan itu adalah telur pindang yang menjadi antara makanan istimewa dan mempunyai signifikan tersendiri oleh masyarakat pada zaman dahulu.
Penghargaan
TELUR pindang yang telah siap direbus selepas tiga hari akan dibawa keluar dan disusun dalam bekas telur untuk diedarkan. |
Penghasilan telur pindang yang lazat terletak pada penggunaan lebih 10 jenis rempah-ratus termasuk bahan lain seperti lengkuas dan halia.
Kesemua bahan itu perlu direbus selama tiga hari untuk menjadikan telur pindang, sekali gus menjadikannya bukan satu juadah yang mudah untuk dihasilkan.
Peluang bertemu dengan seorang pengusaha telur pindang di bawah jenama Telur Pindang Warisan di Kampung Sungai Kantan, Kajang baru-baru ini memberi peluang kepada kru Jurnal untuk melihat proses membuat telur pindang secara komersial.
Mengimbau adat yang diamalkan orang-orang dahulu, pengasas Telur Pindang Warisan, Abd. Jalil Nasir, 53, memberitahu, sebiji telur pindang mempunyai maksud tersendiri sebagai lambang penghargaan kepada seseorang.
Menurut Abd. Jalil, telur pindang dijadikan cenderamata untuk diberikan kepada tetamu yang bertandang ke sesuatu majlis. Ia sebagai tanda penghargaan dan bekalan untuk dimakan semasa perjalanan pulang.
“Jika ada sesuatu majlis seperti perkahwinan, saudara-mara yang tinggal berjauhan akan datang menolong membuat persiapan.
“Orang zaman dahulu tidak mempunyai kenderaan seperti sekarang dan mereka mungkin terpaksa menunggang basikal untuk menempuhi perjalanan jauh,” ujar bapa kepada tujuh orang anak itu.
Katanya lagi, sebagai tanda penghargaan, tuan rumah akan memberikan beberapa biji telur pindang sebagai bekalan makanan untuk dimakan semasa pulang kerana ia tidak mudah rosak dan tahan sehingga dua minggu.
Mewarisi kepakaran dalam menghasilkan telur pindang daripada tiga generasi terdahulu, Abd. Jalil memulakan perniagaan menjual Telur Pindang Warisan di bawah label Elpin sejak 2005 dengan menghantarnya ke kedai-kedai runcit secara kecil-kecilan.
Menurut anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor itu, pada mulanya dia sekadar ingin mencuba selepas mendapati telur pindang menjadi suatu makanan yang asing bagi kebanyakan masyarakat terutama dari luar negeri Johor.
“Tambahan pula, 10 tahun lalu belum banyak individu yang menjalankan perniagaan membuat telur pindang secara komersial di pasaran,” jelas Abd. Jalil.
Kemahiran tinggi
PALET keluli khas yang digunakan untuk meletak telur ayam boleh mengelakkan telur daripada pecah dan retak semasa direbus. |
Semasa peringkat awal pembabitan Abd. Jalil dalam bidang perniagaan, dia menjual sebiji telur pindang pada harga cuma 30 sen hingga 50 sen sahaja kepada peruncit tanpa memikirkan soal keuntungan.
Namun begitu, dia mendapati peruncit mampu menjual telur pindang itu kepada pembeli pada harga antara RM1 sehingga RM1.50 sebiji.
Insiden itu membuka matanya melihat telur pindang mempunyai permintaan dalam kalangan peminat makanan tradisi.
Tidak mahu warisan menguasai cara membuat telur pindang terkubur begitu sahaja, Abd. Jalil telah mewariskan perusahaan Telur Pindang Warisan kepada anak keduanya, Seri Pendita Nasrullah, 21, yang kini mampu menguasai sepenuhnya cara-cara menghasilkan telur pindang yang rumit itu.
Menurut remaja itu, dia didedahkan dengan cara penyediaan membuat telur pindang sejak kecil malah telah menguasai hampir 80 peratus kaedah membuat makanan tradisi itu tanpa bantuan daripada bapanya.
“Kaedah membuat telur pindang sangat rumit dan memerlukan kemahiran tinggi supaya rasa dan kualiti telur pindang yang dihasilkan memuaskan hati pelanggan,” tutur remaja yang selesa disapa Seri Pendita itu.
Sewaktu ditanya antara ramuan yang digunakan semasa melakukan proses merebus telur ayam itu, Seri Pendita tidak teragak-agak untuk berkongsi bahan-bahan yang digunakan.
Antara ramuan yang dicampur bersama air rebusan telur ayam itu adalah jintan manis, jintan putih, bunga lawang, kulit kayu manis, serai, lengkuas dan halia.
Menerangkan lebih lanjut, Seri Pendita memberitahu, telur-telur ayam yang telah diletakkan di atas lubang pada palet keluli itu akan disusun secara bertingkat-tingkat di dalam sebuah periuk gergasi yang ditempah khas.
“Sebuah periuk boleh memuatkan sebanyak 3,200 biji telur yang diletakkan di atas 16 keping palet dengan setiap keping mengandungi 117 biji telur dan ia mampu memelihara telur pindang daripada pecah dan rosak,” ujar Seri lebih lanjut.
Setiap lapisan palet itu pula akan diletakkan daun manggis, daun jambu, daun senduduk, serai, lengkuas dan halia yang diselangselikan antara tingkat, manakala bahan rempah lain pula dimasukkan ke dalam kain uncang dan direbus bersama dalam kuantiti yang telah ditetapkan.
10,000 biji
RAMUAN rempah-ratus seperti jintan manis, jintan putih dan bunga lawang akan digunakan dalam proses merebus telur pindang. |
Sementara itu, adik Abd. Jalil, Ahmad Faizul, 36, yang turut sama membantu mengusahakan Telur Pindang Warisan berkata, fungsi daun manggis dan daun jambu itu adalah sebagai bahan pewarna yang menjadikan kulit telur menjadi coklat kehitaman selepas direbus.
“Daun manggis dan daun jambu itu menjadi bahan wajib yang digunakan oleh mana-mana pembuat telur pindang untuk dijadikan sebagai pewarna,” jelas Ahmad Faizul.
Semasa proses merebus telur pindang itu dilakukan, perkara paling utama yang perlu diambil kira adalah sukatan air dalam periuk yang perlu sentiasa penuh sepanjang tempoh tiga hari telur ayam tersebut direbus.
Jelas Faizul, jika air rebusan menjadi kurang, ia boleh mengakibatkan telur merekah dan pecah sekali gus menjejaskan kualiti telur pindang itu.
Demi menjaga kualiti dan kepuasan pelanggan, Telur Pindang Warisan turut menitikberatkan kualiti telur ayam yang digunakan apabila hanya menggunakan telur ayam segar yang dibeli terus dari pembekal telur demi menjamin mutu produk yang dikeluarkan.
Selepas 10 tahun menjalankan perniagaan telur pindang, Abd. Jalil kini boleh berbangga apabila Telur Pindang Warisan semakin dikenali malah dia kini menghasilkan kira-kira 10,000 biji telur pindang seminggu.
Selain dijual di kedai-kedai sekitar Selangor dan Lembah Klang, Telur Pindang Warisan turut menerima tempahan untuk dijadikan sebagai buah tangan pada majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan dengan turut menawarkan khidmat penghantaran.
Sebagai peniaga, Abd. Jalil percaya rezeki itu telah ditentukan oleh-Nya dan perlu menerima risiko kerugian yang terjadi.
“Saya tidak mengamalkan konsep menerima wang pendahuluan daripada pelanggan yang membuat tempahan, malah tidak akan terasa hati jika pelanggan membatalkan tempahan walaupun semuanya telah siap,” kata Jalil.
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan