BULU putih itu kelihatan kotor benar apabila mula dipenuhi tompok-tompok berwarna keperang-perangan.
Pergerakan yang lemah dan tidak bermaya juga menunjukkan sisi kesedihan yang sedang dialami oleh seekor beruang kutub yang tinggal di Zoo Mendoza, Buenos Aires, Argentina itu.
Diberi nama Arturo yang bermaksud Arthur dalam bahasa Argentina, beruang kutub jantan yang memiliki berat 400 kilogram itu sudah beberapa tahun menunjukkan tingkah laku yang abnormal bagi seekor beruang kutub.
Mana tidaknya, suhu panas Buenos Aires menjadikan Arturo sukar untuk meneruskan hidup dan sering murung, lebih-lebih lagi selepas rakan baiknya, seekor beruang jantan bernama Pelusa, mati kerana menghidap kanser pada tahun 2012.
Sejak itu, Arturo menjadi satu-satunya beruang kutub yang kekal hidup dalam cuaca panas Argentina.
Setelah kematian satu-satunya rakan beruang itu, Arturo mula menunjukkan perubahan sikap yang ketara. Hidup sebatang kara menjadikan Arturo sedih dan dipercayai berterusan menunjukkan sikap pelik sehinggalah ia akhirnya mati pada 4 Julai lalu akibat kesepian.
Ia sering berjalan mundar-mandir dengan menunjukkan giginya dan menggoyang-goyangkan kepalanya ke kiri dan kanan seolah-olah sedang dalam kebosanan yang melampau.
Perubahan tingkah laku
Ia akan melakukan pergerakan sama sehingga berjam-jam lamanya dan aksi itu sempat dirakamkan oleh pengunjung Zoo Mendoza.
Suhu panas sehingga mencecah 40 darjah Celsius di zoo tersebut menyebabkan orang ramai mula membuat satu petisyen dua tahun lalu yang dipanggil ‘Save Arturo’.
Petisyen tersebut menggesa pihak Zoo Mendoza untuk memindahkan Arturo ke Zoo Winnipeg yang terletak di Kanada kerana ia lebih sejuk selain memiliki fasiliti yang lengkap sesuai untuk Arturo.
Petisyen yang ditandatangani dalam talian melalui laman web Change.org itu dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Greenpeace Argentina.
Ia mula mendapat perhatian dunia dan ditandatangani oleh beratus ribu orang yang mahu Arturo segera dipindahkan ke lokasi sesuai.
Kerajaan Argentina bagaimanapun menolak petisyen tersebut kerana mereka tidak mahu memindahkan beruang sepi itu ke pusat konservasi beruang kutub.
Pengarah Zoo Mendoza, Gustavo Pronotto memberitahu bahawa beruang kutub itu sudah terlalu tua dan memindahkannya ke lokasi lain adalah satu proses yang sukar dan akan membahayakan kesihatannya.
“Arturo sudah terlalu tua dan amat rapat dengan penjaganya di zoo ini. Perjalanan hampir 9,656 kilometer ke Kanada akan membahayakan kesihatannya dan sesuatu yang buruk mungkin menimpa Arturo semasa dalam perjalanan,” tegas Pronotto.
Memetik laporan yang ditulis laman web www.theconversation.com, laman web itu yang merujuk jurnal-jurnal akademik menulis bahawa perubahan tingkah laku haiwan sebenarnya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam dirinya.
Berbeza dengan manusia, manusia boleh bercakap atau memberitahu bahawa mereka sedang bersedih, namun haiwan tidak boleh berbuat demikian.
Haiwan hanya boleh menzahirkan kesedihan atau kemurungan melalui tingkah laku yang ditunjukkan.
Pergerakan Arturo dalam kandangnya jelas menunjukkan haiwan itu berusaha untuk menyampaikan bahawa dia sebenarnya berada di dalam keadaan tertekan dan memerlukan teman.
Tulis laman web itu lagi, beruang kutub adalah haiwan yang bijak dan mereka perlukan teman serta rangsangan untuk berasa gembira.
Kerajaan Argentina bagaimanapun menolak petisyen tersebut kerana mereka tidak mahu memindahkan beruang kutub sepi itu ke pusat konservasi beruang kutub.
Terlalu sepi
Arturo dilahirkan pada tahun 1985 dan mula menetap di zoo tersebut sejak berusia lapan tahun.
Hidupnya dahulu ditemani rakan baiknya iaitu Pelusa atau nama Inggerisnya, Fuzz.
Mereka bersama-sama menjalani hari-hari sebagai beruang polar yang tinggal dalam iklim panas di Argentina itu.
Pelusa bagaimanapun mati akibat diserang kanser pada tahun 2012 dan meninggalkan Arturo kesepian.
Lebih menyedihkan lagi, Arturo terus terputus hubungan dengan spesiesnya sejak kematian Pelusa dan ia hanya dibiarkan begitu sahaja tanpa adik-beradik, rakan-rakan mahupun beruang kutub yang lain.
Biarpun ia hanyalah seekor beruang kutub, ia tidak terkecuali daripada berasa sepi setelah ditinggalkan untuk meneruskan hidup tanpa teman.
Kematian Pelusa menjadikan Arturo berubah sikap secara drastik dan ia disedari oleh ramai orang termasuklah pengunjung-pengunjung zoo.
Marah
Selain itu, Arturo juga berdepan kesukaran untuk terus bertahan dalam cuaca panas membahang itu dan dia kelihatan terseksa. Beruang sedih itu hanya dibekalkan sebuah kolam dengan kedalaman 50.8 sentimeter untuknya menyejukkan badan oleh pihak zoo.
Kolam itu pula amat cetek kerana dengan saiz badannya yang besar, Arturo nyata memerlukan kolam yang lebih luas bagi membolehkannya berenang dengan gembira.
Menunjukkan keprihatinannya, pihak zoo kemudian membesarkan saiz kolam tersebut, namun Arturo sering dilihat berenang sekejap sahaja sebelum dia naik ke atas semula dan bergerak dengan amat perlahan.
Mariana Caram, seorang aktivis pertubuhan kebajikan OIKOS-Red Ambiental, Argentina yang berpeluang melihat sendiri keadaan Arturo pada pertengahan tahun 2014 berkata, haiwan itu kelihatan begitu lemah dan riak wajahnya jelas menunjukkan dirinya di dalam kesedihan.
“Sekurang-kurangnya, jika ia dipindahkan, Arturo boleh berjumpa semula dengan spesiesnya yang sama-sama tinggal di Zoo Winnipeg setelah empat tahun terpisah dari kelompoknya,” kata Caram.
Dia juga menambah, habitat Arturo amat panas dan mereka menggesa Presiden Argentina, Christina Fernandez de Kirchner untuk membenarkan Arturo segera dipindahkan.
Namun, Arturo akhirnya mati pada usia hampir mencecah 31 tahun, kesepian dan tidak dipedulikan.
Penyanyi terkenal Cher dalam laman Twitternya marah dengan kerajaan Argentina dan menulis bahawa dia amat kesal dengan nasib yang menimpa Arturo.
“Bagaimanakah Argentina tidak berasa sedih dengan apa yang sudah menimpa Arturo? Presiden Christina, tangan anda akan dipenuhi darah Arturo semasa beruang malang itu mati nanti,” tulis Cher dalam akaun Twitternya pada tahun 2014.
Seluruh dunia menangisi kematian satu-satunya beruang kutub di Argentina itu dan sama-sama bersedih kerana Arturo terpaksa melalui hari-hari terakhir tanpa teman di sisi.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4GTwqmIw6
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan