DALAM keterujaan melaporkan tentang temasya Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, pasukan petugas media dari pelbagai negara dikejutkan dengan satu insiden mendebarkan apabila salah satu bas yang mereka naiki diserang sehingga mengakibatkan cermin kenderaan itu pecah pada 9 Ogos lalu.
Sebelum kejadian, petugas media daripada pelbagai agensi berita itu dikatakan baru selesai membuat liputan acara bola keranjang wanita di Rio dan meninggalkan Stadium Deodoro untuk ke pusat media yang terletak di Barra da Tijuca. Perjalanan dengan menaiki bas itu mengambil masa selama 50 minit.
Ketika itu, seramai 10 orang petugas media sedang berada di dalam bas tersebut.
Ketika bas tersebut melalui lebuh raya Transolímpica di Deodoro berhampiran Curicica, tidak semena-mena mereka dikejutkan dengan satu bunyi kuat sehingga tingkap bas tersebut pecah. Penumpang yang terkejut dengan insiden itu terus meniarap di lantai bas dalam keadaan panik.
Seorang wartawan dari Amerika Syarikat kemudian mendakwa bas tersebut sebenarnya telah ditembak dan bukannya dibaling dengan objek keras.
Bagaimanapun, menurut pasukan polis Rio yang ditugaskan untuk menyiasat kejadian itu, mereka percaya bahawa bas tersebut telah dibaling dengan batu besar, namun punca atau motifnya masih disiasat.
Begitu pun, ada pihak yang mendakwa ia berlaku kerana kawasan Deodoro sememangnya terkenal dengan kegiatan jenayah. Masyarakat di sana hidup dalam kemiskinan selain ramai yang terlibat dengan dadah. Ketika kejadian, penyerang mungkin berada di bawah pengaruh dadah.
Terkejut
Insiden dikatakan berlaku pada pukul 7.45 malam waktu tempatan, ketika bas sedang melintas favela. Favela adalah istilah tempatan yang merujuk kepada kawasan setinggan di Brazil.
Menurut seorang bekas anggota tentera udara Amerika Syarikat yang merupakan salah seorang penumpang bas, Lee Michaelson, dia amat terkejut dengan insiden tersebut dan amat yakin bas yang dinaikinya sebenarnya telah ditembak.
Wanita itu menulis tentang insiden terbabit di dalam laman webnya iaitu hoopfeed.com.
“Lebuh raya itu dikhaskan sebagai laluan utama bagi acara Olimpik di Rio sehingga acara itu tamat.
“Bas yang kami naiki sedang melalui kawasan tersebut pada waktu yang sesuai manakala aliran trafik ketika itu adalah amat baik. Begitu pun, saya yakin penembak telah menggunakan sepucuk pistol kecil dan kerana itu, ia telah menyelamatkan nyawa kami.
“Sebaik sahaja terdengar bunyi tembakan tersebut, saya terus tahu bahawa ia adalah bunyi tembakan dan bukannya balingan batu,” tulisnya dalam laman web itu.
Berdasarkan pengalamannya yang pernah bertugas sebagai anggota tentera, wanita itu terus tahu bahawa bas yang dinaikinya telah ditembak menggunakan sepucuk pistol kecil.
Penumpang mula panik dan terus tunduk, keliru dengan apa sebenarnya yang telah terjadi.
Cermin tingkap bas tersebut mulai retak dan pecah selepas ditembak, Michaelson menjerit dan menyuruh semua penumpang supaya tunduk.
Pemandu bas kemudian terus memandu kenderaan itu ke lorong kecemasan sebelum menghentikannya.
Tingkap berkecai
Menurut Michaelson lagi, seorang pegawai polis tiba di tempat kejadian dan sama-sama menaiki bas tersebut untuk memeriksa kenderaan itu.
Bas itu kemudian meneruskan perjalanan dan selamat tiba ke destinasinya.
Dalam kejadian itu, Arthur Zhol yang merupakan seorang wartawan penyiaran dari Belarus tercedera bersama seorang lagi wartawan dari Turki, Kaan Korkmaz.
Zhol cedera di tangan akibat terkena serpihan kaca, manakala lengan Korkmaz pula telah terkoyak sedikit.
Zhol menulis pengalamannya dalam blog pressball.by dan menceritakan detik cemas itu. Menurutnya, dia tidak begitu pasti adakah bas tersebut memang ditembak atau ia sebenarnya telah dibaling dengan batu besar.
“Ketika bas melalui lebuh raya Transolímpica berhampiran Curicica, pemandu bas telah terdengar bunyi yang datangnya dari dalam bas.
“Dia menyangka, ia akibat peralatan kamera yang terjatuh di dalam bas,” tulisnya dalam laman web itu.
Pemandu yang tidak didedahkan identitinya itu kemudian melihat ke arah cermin belakang dan menyedari semua penumpang telah meniarap ketakutan.
Begitu pun, dia tidak terus berhenti sebaliknya terus memandu beberapa meter sebelum ternampak kelibat kereta polis di hadapan dan mengambil keputusan untuk berhenti.
Memetik laporan agensi berita Cable News Network, kesemua mereka bagaimanapun bersyukur kerana tiada penumpang yang mengalami kecederaan serius tetapi berharap kejadian seumpama itu tidak akan berulang sepanjang temasya sukan terbesar dunia itu berlangsung.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4HdBNy23t
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan