29 Julai 2016

Artikel Menarik (Julai 2016) - Kegilaan Zombie buru raksasa digital


DEMAM Pokemon Go turut melanda Indonesia walaupun permainan itu belum memasuki negara itu secara rasmi.

PERMAINAN maya, Pokemon Go bagai sejenis ‘pukau’ yang menakluk dunia saat ini. Dek mengejar makhluk-makhluk digital itu, dua remaja dari Kanada culas melintasi sempadan Amerika Syarikat (AS), puncak gunung tertinggi Britain sanggup didaki dan kawasan periuk api di Bosnia tegar dijejaki.
Baru dilancarkan sejak bulan ini, fenomenanya bak panahan kilat. Pemainnya daripada pelbagai golongan termasuk pemimpin negara seperti Presiden Israel, Reuven Ruvi Rivlin; bintang pop, Justin Bieber sehinggalah suami yang sedang berada dalam bilik kecemasan isteri bersalin.
Baik yang berambut perang di negara-negara mat saleh, yang berserban di negara-negara Arab, yang bermata sepet di Asia Timur atau yang berkulit sawo matang di Indonesia, obsesi pemburuan makhluk-makhluk Pokemon terlihat di mana-mana.
Pokemon Go menyebabkan kegilaan, ketagihan dan kecanduan. Permainan ini bagai meragut deria sedar sesetengah orang. Saluran berita CNN menggunakan istilah zombie atau mayat hidup untuk pemainnya apabila mereka berjalan sambil tunduk dan memegang telefon pintar.
Pokemon Go merupakan permainan bergenre realiti berperantara (augmented reality). Ia menggunakan keupayaan lokasi satelit, grafik dan kamera telefon pintar untuk meletakkan raksasa maya dalam persekitaran sebenar.
Dikatakan terdapat 151 jenis makhluk Pokemon antaranya Pikachu, Bulbasaur, Charmander, Charmeleon, Aerodactyl dan banyak lagi. Selepas menemuinya, pemain dikehendaki menangkapnya dengan bola atau Pokeball dalam telefon pintar untuk mengumpul mata.
Difahamkan, interaksi juga seakan berlaku apabila makhluk itu boleh berlari-lari atau mengacah-acah pemain ketika hendak ditangkap.
Tragedi
Permainan Pokemon Go dilancarkan secara rasmi sejak 6 Julai lalu bermula dengan AS, Australia dan New Zealand. Sehingga 25 Julai, ia telah wujud secara rasmi di kebanyakan benua Eropah, Kanada, Jepun dan Hong Kong.
Di negara-negara lain, sungguhpun ia belum dilancarkan secara rasmi namun ia telah pun dimainkan secara meluas. Di Pakistan, Indonesia, Arab Saudi bahkan di negara bergolak Syria pun ada pemainnya di tengah runtuhan bangunan.
Di China, biarpun permainan-permainan berbahasa Inggeris diharamkan, namun peminat-peminat Pokemon Go tetap gigih memuat turun aplikasi itu menerusi beberapa laman web e-dagang seperti Taobao yang menjual kata laluan App Store Australia.
Tragedi turut menimpa seorang remaja di Guatemala, Jerson Lopez de Leon, 18. Dia dilaporkan menjadi korban pertama Pokemon Go apabila ditembak mati semasa asyik mengejar Pokemon berdekatan landasan kereta api bersama seorang sepupunya. Polis bagaimanapun menyifatkan punca serangan itu masih kabur.
Individu yang bertanggungjawab mencipta Pokemon Go ialah pengasas syarikat pembangunan perisian, Niantic, John Hanke yang pernah terlibat dalam pembikinan Google Maps dan Google Earth beberapa tahun lalu.
Hanke berkata, idea tercetus apabila dia terpanggil membuat pemain-pemain game meninggalkan skrin komputer untuk melakukan lebih banyak senaman dengan mengejar Pokemon di sekitar mereka.
Hubungan sosial
“Saya tidak fikir kita selamanya perlu duduk di dalam bilik gelap bertemankan peranti elektronik. Saya lebih teruja jika kita boleh pergi ke luar dan membina perhubungan sosial sebenar,” katanya.
Ketika kegilaan terhadap permainan ini kian memuncak, kegusaran turut meningkat apabila Pokemon Go dikatakan menjadi punca peningkatan kemalangan dan kecederaan.
Heraldsun Australia melaporkan pengguna jalan raya yang bermain Pokemon Go adalah antara punca peningkatan mendadak kes-kes kemalangan. Terdapat juga kes di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pengguna kereta meninggalkan kenderaan di atas jalan raya semata-mata untuk mengejar Pokemon!
Terdapat juga kes dua lelaki jatuh dari cerun ketika terlalu asyik mengejar Pokemon di AS manakala seorang lelaki New Zealand sanggup berhenti kerja untuk menjadi pemburu Pokemon sepenuh masa.
Namun, menariknya, sesetengah pemain ibarat tidak mempedulikan kecederaan tubuh penangan Pokemon Go sebaliknya lebih menyesal kerana gagal mendapatkannya.
Seorang pemuda Mike Schultz, 21, di New York, terjatuh dari papan selajunya sehingga luka-luka semasa mengejar makhluk Pokemon namun menyalahkan dirinya sendiri kerana lembap.
“Saya hanya nak cepat pulang asalkan dapat dua atau tiga ekor Pokemon di kawasan berdekatan. Saya tidak anggap ini salah syarikat yang membikin permainan ini,” katanya kepada agensi berita AP.
Terdapat juga kebimbangan lain, apabila makhluk-makhluk itu dikatakan membawa pemain sehingga ke tempat-tempat larangan atau berbahaya bukan sahaja ke dalam gua, bertemu mayat bahkan di kawasan kejiranan pesalah-pesalah seks di AS.
Dengan 38,000 pesalah seks berdaftar di New York, polis takut sekiranya ia membawa bahaya kepada pemain Pokemon Go dalam kalangan kanak-kanak atau gadis.
“Orang yang paling pantas mengadaptasi trend baharu dalam teknologi media sosial ialah penjenayah dan ‘pemangsa’,” kata pihak berkuasa di Suffolk, New York, Steve Bellone.
Di India, seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun lari dari rumahnya di Howrah ke Mumbai demi mengejar Pokemon bagaimanapun dia diselamatkan polis.
Selain itu, sesetengah pihak mengesyaki, permainan ini mempunyai kaitan dengan pengintipan atau pencerobohan data peribadi.
“Pengintipan boleh berlaku dalam banyak cara. Pada awalnya, permainan ini nampak comel tetapi penelitian lebih lama mendapati ada sesuatu tidak kena padanya,” kata Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu ketika mengeluarkan larangan pegawai dan anggota polis bermain Pokemon Go sewaktu bertugas.
Pengarah filem Hollywood, Oliver Stone menyifatkan permainan ini merupakan satu penjajahan tahap baharu.
Robot
Mereka melabur wang yang besar untuk mengumpul data tentang setiap kita, tentang apa yang kita beli, apa yang kita suka, lebih-lebih lagi tabiat kita.
“Pokemon Go ke arah itu. Ia pergi ke semua tempat di dunia sehingga ia akan memanipulasi sikap kita dan kita mula bertindak seperti yang dibentuknya. Maka anda akan saksikan satu bentuk baharu masyarakat robot,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Imam Diyanet-Sen di Turki, Mehmet Bayraktutar berkata, Pokemon Go merupakan senjata Barat untuk melalaikan orang Islam selain ia merendahkan kesucian Islam kerana makhluk-makhluk itu turut muncul di masjid.
“Saya mengutuk permainan ini dan mahu Pokemon Go diharamkan di Turki,” katanya.
Pokemon iaitu nama yang pernah kontroversi kerana didakwa maknanya dalam bahasa Suryani dikaitkan dengan sebuah agama kembali menebarkan pengaruhnya di dunia hari ini.
Sama ada permainan ini menjurus kepada situasi yang menyeronokkan atau menyeramkan, anda tentukan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4FoWRBTwq 
Hakcipta terpelihara 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan