BEBERAPA abad yang lalu, Orang Asli di Nicaragua mengambil keputusan untuk tinggal jauh di pedalaman kerana bimbang terkena sihir.
Masyarakat Orang Asli itu juga dipercayai menjadikan kanak-kanak dan wanita muda sebagai korban untuk gunung berapi Masaya di Managua.
Bagaimanapun, kawah gunung berapi yang terletak di barat daya ibu negara Nicaragua itu kini menjadi tumpuan pelancong antarabangsa.
Para pelancong berebut-rebut untuk bergambar di celah-celah asap sulfur bagi mendapatkan sudut pandangan yang cantik berlatarbelakangkan lava menggelegak.
Ahli Geografi Nicaragua dan Aktivis Alam Sekitar, Jaime Incer berkata, selain Masaya, antara gunung berapi yang mempunyai tasik pijar magma ialah Kilauea di Hawaii dan Nyiragongo di Republik Demokratik Congo.
Seorang pelancong dari Perancis, Noheli Pravia pula memberitahu, sesuatu yang luar biasa kerana kejadian unik di dunia itu hanya berlaku setiap 20 hingga 25 tahun sejak 1902.
Cecair merah yang panas dengan awan asap putih mengisi ruang udara kawah aktif itu dinamakan sebagai Santiago.
Gunung berapi Masaya terletak pantai Lautan Pasifik dan dalam rizab alam semula jadi, kira-kira 50 kilometer persegi di tanah batu-batuan lava yang luas dengan bunga putih frangipani (bunga kemboja).
Gas toksik
|
Berada pada ketinggian 400 meter dari aras laut, gunung berapi yang terbentuk sejak 5000 tahun itu sedang aktif kira-kira enam bulan lalu. |
“Ini adalah kali pertama saya melihat satu kejadian seperti ini dan ia benar-benar mengagumkan,” kata seorang jururawat Austria, Mijaela Cuba yang pernah berdiri di atas gelombang lava itu.
Dia antara 4,000 pelancong yang diberikan kebenaran oleh kerajaan Nicaragua untuk berada dekat dengan kawah gunung berapi itu baru-baru ini.
Setiap lawatan pula dihadkan hanya beberapa minit kerana risiko daripada gas toksik yang terbentuk.
Satu-satunya haiwan yang berjaya dikesan berapa ratus meter di bawah dinding kawah itu ialah burung kakak tua hijau dan kelawar.
Gunung berapi itu meletus sebanyak dua kali dalam catatan sejarah iaitu pada 1670 dan 1772. Malah, letusan itu berjaya menakutkan kerajaan Sepanyol ketika itu.
Sementara itu, gabenor pertama di rantau berkenaan, Pedrarias Davila dalam tulisannya kepada raja Sepanyol pada 1525 menyebut, ia adalah satu lohong api yang tidak pernah berhenti untuk membakar.
Dalam pada itu, seorang sami, Francisco de Bobadilla, menganggap ia sebagai pintu gerbang ke neraka dan pihaknya mendirikan sebuah salib besar di pinggir kawah berkenaan.
Manusia pada zaman pra Columbia yang mendiami kawasan itu mempercayai bahawa ada seorang ahli sihir dan mereka menggelarnya sebagai Chalchihuehe kerana tinggal di bawah tanah.
Sejak itu, mereka mengorbankan nyawa orang muda yang tidak bersalah bagi memuaskan hati ahli sihir tersebut.
Menurut Incer, risiko yang perlu dihadapi sekarang ialah gunung berapi itu menjadi semakin aktif dan lava yang keluarkan bertambah tinggi.
Letusan baharu dalam tempoh 150 tahun akan datang adalah pada skala satu daripada 1,772 dan ia mampu mencapai jarak sejauh 30 kilometer sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nicaragua.
– AFP
Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4BrMFerbJ
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan