06 Ogos 2015

Artikel Menarik Ogos (2015) - Kesukaran menempuh lapan halangan berbeza




SETIAP halangan nampak mudah untuk diharungi tetapi jika tersilap langkah, anda pasti terjatuh.
“Mampukah aku melakukannya? Kalau rakan lain boleh buat, mengapa aku tidak?”
Begitulah luahan dalam hati kecil Syamim Mahirah Rahman, 22, ketika hendak mengharungi cabaran SkyWarrior Rainforest Challenge di Taman Tema Skyrides Festival Park Putrajaya (Skyrides), Putrajaya baru-baru ini.
“Perasaan saya begitu gementar ketika percubaan pertama hendak merentasi halangan kerana saya tidak biasa melakukan aktiviti ini.
“Pada percubaan pertama, saya terjatuh ke dalam kolam ketika hendak merentasi halangan ketiga dalam cabaran ini,” ujarnya.
Syamim Mahirah yang pada mulanya berasa takut untuk melakukan cabaran itu cuba meyakinkan diri dengan bisikan-bisikan positif sebagai salah satu cara untuk menenangkan fikiran.
“Pada awalnya, saya sememangnya berasa takut untuk melakukan namun, setelah dua tiga kali mencuba, keyakinan untuk merentasi halangan itu semakin bertambah.
“Mencabar diri dengan melakukan aktiviti yang mencabar ini memberikan satu perasaan yang sukar untuk digambarkan dan ia membantu saya meningkatkan keyakinan diri.
“Sebelum ini, saya tidak yakin dengan diri untuk melakukan aktiviti lasak,” ujarnya.
Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berkata, kehadirannya bersama rakan-rakan ke SkyWarrior Rainforest Challenge adalah untuk melengkapi silibus pelajaran.
Silibus pelajaran
“Pensyarah membawa kami untuk mencuba aktiviti mencabar ini bagi memenuhi silibus pelajaran yang melibatkan aktiviti di luar bilik kuliah,” ujar pelajar jurusan pendidikan jasmani.
“Saya begitu teruja dan berbangga kerana berjaya melepasi halangan aktiviti lasak ini walaupun saya seorang wanita,” ujarnya.
SkyWarrior Rainforest Challenge antara tarikan utama yang terdapat di Taman Tema Skyrides. Individu yang berani mencabar diri melakukan aktiviti lasak itu pasti akan merasai suatu pengalaman luar biasa yang cukup mendebarkan.

KEKUATAN tangan diperlukan untuk mengharungi halangan Kinabalu Ferrata.


Bagi menamatkan cabaran tersebut, peserta perlu mengharungi lapan rintangan berbeza yang mempunyai halangan dan cabaran yang tersendiri.
Antara halangan yang perlu diharungi peserta untuk sampai ke titik pemeriksaan (check-point) terakhir bagi menyempurnakan cabaran itu adalah Chelik Falls, Ulu Sepat Leap, Kinabalu Ferrata, Langkawi Walk, Kinabatangan Swing dan Danum Valley.
Setiap halangan itu nampak mudah untuk dilepasi namun, ia mempunyai kesukaran. Jika tersilap langkah, peserta boleh terjatuh ke dalam kolam yang dipenuhi dengan air.
Halangan ini mempunyai darjah kesukaran yang tersendiri. Bagi halangan Langkawi Walk, peserta perlu berlari di atas sebuah jambatan yang tergantung dan jika hilang keseimbangan badan, mereka peserta akan terjatuh.
Bagi halangan Kinabatangan Swing pula, ia mempunyai darjah kesukaran yang agak tinggi. Pada halangan tersebut, peserta perlu bergayut dari satu tali ke satu tali yang lain dan kekuatan tangan memainkan peranan untuk mengatasi halangan tersebut.
Jurulatih SkyWarrior Rainforest Challenge, Muhamad Zulhairi Mohd. Ridzwan, 27, berkata, kebanyakan peserta yang melakukan aktiviti itu pasti tidak berjaya untuk melepasi kesemua halangan pada percubaan pertama.
“Untuk mengatasi halangan ini, ia tidak semudah yang disangka. Ada peserta yang terjatuh pada halangan pertama walaupun ia tidak sukar.
“Bagi mengharungi cabaran ini, seseorang itu tidak hanya perlu mempunyai ketahanan fizikal tetapi mental juga perlu kuat,” ujarnya.
Risiko
Tambahnya, stamina peserta juga perlu kuat untuk menyelesaikan halangan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Walaupun aktiviti merentasi halangan ini nampak mudah dan tidak berbahaya, ia tetap mempunyai risiko yang tersendiri.
“Jika tersilap langkah, peserta ia boleh mengundang kecederaan. Kami akan memberi taklimat keselamatan kepada peserta sebelum mereka melakukan aktiviti ini agar tidak berlaku sebarang perkara yang buruk,” ujarnya.
“Bagi peserta lelaki, masa yang diperuntukkan untuk menyempurnakan halangan ini ialah selama tiga minit manakala wanita pula diberi masa lima minit.
“Mereka yang melebihi masa yang ditetapkan dianggap tidak berjaya menyempurnakan halangan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Muhammad Zulhusni Abu Bakar, 26, kehadiran ke SkyWarrior Rainforest Challenge ialah untuk menguji kemampuan diri bagi mengatasi setiap halangan yang ada pada aktiviti lasak tersebut.

PARA peserta perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk melepasi halangan di SkyWarrior Rainforest Challenge.


“Sebelum ini, saya hanya melihat di kaca televisyen rancangan seperti American Ninja Warrior dan Japanese Ninja Warrior yang memaparkan bagaimana para peserta berusaha mengatasi setiap halangan dalam masa yang ditetapkan.
“Selepas mengetahui terdapat aktiviti yang mirip seperti rancangan ini di Putrajaya, saya terus mencari masa yang sesuai untuk datang dan mencuba aktiviti ini bagi menguji kemampuan diri,” ujarnya.
Tambahnya, halangan yang terdapat pada aktiviti itu nampak mudah untuk diharungi namun, apabila kali pertama mencuba, ia ternyata mempunyai kesukaran yang tersendiri.
“Selepas beberapa kali mencuba, baru saya berjaya menyempurnakan kesemua halangan ini mengikut masa yang ditetapkan.
“Saya mengakui, untuk menyempurnakan kesemua halangan ini, ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal dan mental semata-mata tetapi seseorang itu juga harus mempunyai keseimbangan badan yang baik,” katanya.
Muhammad Zulhusni menambah, menerusi kemudahan aktiviti lasak seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu generasi muda sepertinya untuk mengisi masa yang terluang.
“Aktiviti ini mempunyai keseronokan yang tersendiri. Jika ada masa terluang, saya pasti akan datang ke sini lagi. Bagi mereka yang ingin menghilangkan tekanan kerja atau sebaliknya, mereka perlu mencuba aktiviti ini kerana ia mampu meredakan tekanan buat seketika,” ujarnya.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz3i0Fl2KDN 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan