25 Mac 2015

Artikel Menarik Mac (2015) - Pulau Buat Pencinta Kucing

TERDAPAT hampir 200 ekor kucing menetap di Pulau Aoshima, Jepun.

PULAU Aoshima yang terletak berdekatan bandar Miyazaki di Jepun amat unik sekali.
Ini kerana, jika kebanyakan pulau-pulau kecil biasanya di­diami oleh masyarakat tempatan tetapi berbeza dengan pulau ini apabila ia dihuni oleh beratus-ratus ekor kucing comel sehingga mengalahkan bilangan penduduk di kawasan itu sendiri.
Kedengaran agak pelik tetapi itulah hakikat sebenar yang berlaku di pulau yang lebih dikenali sebagai pulau kucing itu.
Keadaan itu dikatakan bermula pada abad ke-19 apabila Pulau Aoshima dijadikan destinasi persinggahan para nelayan untuk bermalam di sana.
Kucing-kucing itu dibawa oleh nelayan dan di­bela untuk menangkap tikus yang mengganggu bot mereka. Sejak itu, bilangan haiwan berkenaan semakin bertambah berkali ganda sehingga tidak mampu dikawal lagi.
Lama-kelamaan, para nelayan serta penduduk di sekitar pulau tersebut mula menyukai kucing-kucing ini dan mempercayai memberi makanan kepadanya akan membawa tuah, malah amalan itu masih wujud dan di­amalkan sehingga kini.
Kini, dilaporkan hampir 200 ekor kucing menetap di Pulau Aoshima berbanding 50 orang penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas kera­na majoriti penduduknya sudah berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari pekerjaan.

KEBANYAKAN pelancong yang datang ke Pulau Aoshima merupakan pencinta kucing.


Pelancong
Keunikan pulau tersebut telah menjadi sebutan oleh rata-rata penduduk di tanah besar sehingga menjadikan pulau itu terkenal dalam kalangan pelancong.
Walaupun tidak mempunyai kemudahan seperti kedai serbaneka, restoran, perkhidmatan­ sewa kereta atau kawasan tempat tinggal yang selesa, namun peminat kucing tidak kisah ­dengan keadaan itu.
Menurut seorang pelancong, Makiko Yamasaki, 27, satu-satunya aktiviti yang ada di pulau itu adalah memberi kucing makan dan ia adalah perkara yang sa­ngat menyeronokkan.
“Saya seronok melihat masyarakat di sini memberi makanan kepada sekumpulan besar kucing. Sudah pasti, saya akan datang untuk melawat pulau ini lagi,” janjinya.
Dalam pada itu, kebanyakan pengunjung yang datang ke pulau tersebut adalah untuk bermanja dengan haiwan berkenaan kerana mereka semua merupakan pencinta kucing.
Ini disebabkan kawasan kediaman di Jepun amat terhad dan mempunyai peraturan ketat. ­Biasanya penduduk tidak dibenarkan membela haiwan peliharaan, jadi mereka gunakan kesempatan itu untuk mengunjungi pulau kucing dengan kerap.
Ternyata pulau tersebut mendapat sambutan apabila ramai pelancong datang untuk mengambil gambar, membelai, memberi makan dan bermain dengan haiwan comel itu.

PENDUDUK di pulau kucing percaya memberi makanan pada haiwan itu akan membawa tuah.


Kuil kucing
Bagi sesiapa yang sukakan kucing, pulau itu merupakan tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi kerana bukan sahaja terdapat kucing yang sangat banyak di merata-rata tempat, malah terdapat juga tarikan lain seperti kuil kucing, bangunan dan rumah berbentuk kucing.
Lebih istimewa, kucing di Pulau Aoshima tidak terlalu cerewet dan sangat mesra de­ngan pelancong lebih-lebih lagi apabila mereka menghulurkan makanan seperti kepalan nasi, ikan atau kentang.
Bagaimanapun, tidak semua penduduk di pulau itu menyukai kucing. Ini terbukti apabila ada antara mereka menghalau kucing-kucing tersebut menggunakan kayu.
Sebilangan penduduk juga di­lihat tidak begitu ramah de­ngan pelancong.
“Jika pelancong kerap datang ke sini kerana menganggap ku­cing sebagai satu terapi, saya fikir ia perkara yang baik.
“Saya cuma berharap ia dilakukan dengan cara yang tidak mengganggu kami yang tinggal di pulau ini,” kata Hidenori Kamimoto, 65, yang menyara hidup sebagai nelayan.
Dalam pada itu, penduduk di situ akan cuba mengawal populasi kucing dengan memastikan sekurang-kurangnya 10 ekor ku­cing dimandulkan setiap minggu.


RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan