18 Mac 2015

Artikel Menarik (Mac 2015) - Aspek keselamatan haiwan peliharaan




PERNAH suatu ketika, langsir di rumah Mohd. Nadzri Abdul Mutalib, 35, jatuh dari bidainya saat dia meninggalkan rumah untuk pulang beraya ke kampung halaman. Rumahnya berselerak dan perkakas rumah bertaburan di lantai. Kekacauan itu bukan dikerjakan pencuri tetapi kucing-kucing kesayangan milik Nadzri dan isteri.
"Tak sampai seminggu habis rumah jadi tunggang-langgang kucing kerjakan," imbas Nadzri yang ketawa setiap kali terkenang kisah tersebut.
Kini, setiap kali Nadzri dan isteri meninggalkan rumah untuk beberapa hari, kucing-kucing aktif dan nakal karakternya diletakkan di dalam sangkar besar. Selebihnya, dibiarkan di dalam rumah seperti biasa.
Sebagai pemilik kepada 13 ekor kucing, Nadzri perlu memastikan keselamatan haiwan peliharaannya terjaga meskipun ia ditinggalkan.
Presiden kepada Komuniti Bantuan Penyelamat dan Rawat Kucing Jalanan (SCRATCH) itu atau dulunya dikenali sebagai Kucing Terbiar dan Anjing Jalanan (KTAJ) berkata: "Lebih-lebih lagi apabila musim perayaan, saya kena sediakan kelengkapan dan kemudahan kucing-kucing ini dengan teratur. Dalam seronok beraya, kita kena ingat haiwan peliharaan di rumah. Kalau tidak dirancang sebaik-baiknya, ia boleh mendatangkan mudarat kepada haiwan dan kita sendiri."

KELENGKAPAN sempurna untuk kemudahan kucing di rumah boleh mengurangkan tekanan kepada haiwan itu saat ia ditinggalkan tanpa pengawasan manusia - Gambar hiasan.


Berapa lamakah kucing boleh ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan manusia? Ia merupakan persoalan subjektif yang sukar dijawab. Setakat ini, tempoh peninggalan boleh diselaraskan bergantung kepada jumlah kucing yang dimiliki seseorang individu.
"Paling lama tiga atau empat hari sahaja saya tinggalkan," kongsi jurucakap SCRATCH, Rosmawar Mohamed, 29, yang memiliki 12 ekor kucing.
Bagi mengelakkan rumahnya bersepah sepanjang ketiadaannya, Rosmawar membawa kucing-kucing yang aktif dan masih kecil pulang ke kampung. "Pemilik kena kenal pasti karakter kucing mereka. Kemudian, baru boleh tentukan macam mana hendak uruskan kucing-kucing itu ketika meninggalkan rumah untuk beberapa hari," katanya.
Stok makanan
Menurut Rosmawar, tahap kerisauannya berganda menjelang musim perayaan. Bagi memastikan kebajikan kucing-kucingnya terjamin, Rosmawar meletakkan makanan dan minuman di dalam bekas di setiap penjuru rumah.
Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu bimbang bekas makanan dan minuman yang disediakan tertumpah. Bekalan air sebenarnya lebih penting kepada kucing berbanding makanan.
TANDAS kucing perlu ditinggalkan dalam keadaan bersih termasuk menambah amaun pasir.

Sama seperti manusia, kucing mudah mengalami dehidrasi jika kekurangan air. Sehubungan itu, pastikan air disediakan lebih banyak berbanding hari-hari biasa. Tambah beberapa bekas air mengikut jumlah kucing peliharaan anda sebagai langkah berjaga-jaga.
Begitu juga makanan. Jumlah makanan perlu dianggar oleh pemilik kucing. Makanan kering iaitu biskut adalah pilihan terbaik. Mungkin mereka yang terbiasa memberi makanan basah perlu mengubah kebiasaan itu kerana makanan jenis itu mudah basi dalam tempoh yang singkat.
"Kalau hendak selamat, letak banyak-banyak pun tak apa asalkan anda rasa kucing cukup makan sepanjang ketiadaan anda. Ada sesetengah pemilik menggunakan pemberi makanan automatik, namun hati-hati kerana ia boleh tersangkut dan menyekat aliran makanan," dedah Rosmawar.
Soal keselamatan kucing peliharaan saat kita meninggalkan rumah juga perlu dilihat pada skop yang lebih luas. Penggunaan kolar misalnya sering dipandang remeh oleh majoriti pemilik kucing.
Kolar yang berfungsi sebagai tanda pengenalan kepada seekor kucing hakikatnya boleh mengundang bahaya. Seperti yang dialami Rosmawar, salah seekor daripada kucingnya cedera di gigi sehingga mengakibatkan pendarahan gara-gara kolar tersangkut pada mulut.
"Mungkin ia bergaduh dengan kucing lain atau bermain sehingga mengalihkan kolar ke bahagian mulut. Sejak itu, setiap kali saya tinggalkan rumah untuk tempoh lama, saya tanggalkan semua kolar kucing," cerita Rosmawar bahawa terdapat juga kolar yang dilengkapi fungsi keselamatan juga boleh tertanggal sendiri.

KOLAR kucing sebaik-baiknya ditanggalkan sekiranya pemilik meninggalkan rumah untuk tempoh beberapa hari. - Gambar hiasan


Langkah ekstra

Mohd. Azrin Mohd. Azali, 34, koordinator acara SCRATCH juga tidak lokek berkongsi tip-tip berguna kepada pemelihara kucing sempena Aidilfitri.
Lelaki dari Seremban itu menasihatkan agar segala barangan tajam dan objek halus termasuk peniti dan duit syiling disimpan dengan cermat.
"Jangan sesekali biarkan barangan ini bersepah di dalam rumah. Memang nampak kecil tetapi boleh membahayakan kucing. Pernah ada kes kucing tertelan peniti sehingga tersangkut pada tekak. Jadi jangan ambil mudah benda begini," pesan Azrin yang memelihara lima ekor kucing.
Bagi mereka yang menggunakan pasir kucing, pastikan amaun pasir dalam setiap bekas pasir mencecah atau melebihi ketinggian 5.08 sentimeter. Jumlah bekas pasir juga bergantung kepada bilangan kucing.
Dari segi pengudaraan, kucing yang tinggal di dalam rumah memerlukan aliran udara yang cukup untuk pernafasan. Mereka yang tidak mahu membuka tingkap atas alasan keselamatan, bolehlah memasang kipas pada ruang tamu atau bilik yang menempatkan kucing.
"Kalau buka tingkap, pastikan ia dilengkapi jeriji yang menghalang kucing keluar rumah," jelas Azrin yang menambah kepala gas juga perlu dicabut sebagai langkah keselamatan tambahan.

RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan