02 Julai 2014

Artikel Menarik (Julai 2014) - Ancaman El-Nino



OLEH AMIZUL TUNIZAR & AHMAD TERMIZI


FENOMENA El Nino dijangka melanda dunia termasuk Malaysia pada penghujung bulan ini. Ditambah faktor pemanasan global, serangan El Nino kali ini bakal menjadikan 2014 atau 2015 sebagai tahun paling panas dalam rekod.

Walaupun El Nino belum lagi melanda, tanda-tanda awal sudah kelihatan dengan suhu panas, taburan hujan yang kurang dan keadaan udara berjerebu, memberikan petunjuk kepada kita bahawa musim kering sudah bermula.

Mengikut rekod, El Nino telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1951-1998 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.

Pada tahun itu, sebahagian besar kawasan di negara ini mengalami cuaca kering dan panas serta berjerebu. Isu paling mendapat liputan pada masa itu ialah krisis bekalan air di Lembah Klang. Di peringkat global pula, El Nino pada tahun tersebut menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM112.6 bilion dan angka korban melebihi 23,000 orang.




Apakah El Nino?

El Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud 'anak lelaki’. Istilah tersebut pertama kali digunakan oleh nelayan di Peru sekitar 1800-an bagi merujuk kepada Jesus Christ kerana fenomena itu dikesan berlaku sekitar sambutan Krismas pada Disember.

Fenomena itu dikesan jauh lebih awal daripada La Nino kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap nelayan di negara Amerika Selatan itu. Nelayan Peru mendapati sekitar Disember dan Januari, hampir tidak ada langsung ikan di lautan.

Secara mudahnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 18 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran Peru. Namun, fenomena itu menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia.

Kejadian semula jadi itu berlaku apabila angin yang biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di benua Amerika Selatan menuju ke kawasan Australia dan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina. Keadaan itu menyebabkan berlaku cuaca panas dan kemarau serta kadar hujan yang sedikit di negara-negara berkenaan.

Pada masa sama, kawasan timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Chile, Argentina, Bolivia, Colombia, Ecuador dan Brazil akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir serta banjir besar.

Sehingga kini, punca sebenar kejadian El Nino ini masih belum diketahui walaupun banyak kajian telah dibuat oleh pakar.



Kesan El Nino
 
* Kesihatan

Perubahan suhu dan cuaca boleh mempengaruhi populasi dan kelakuan vektor nyamuk, sekali gus meningkatkan potensi jangkitan. Ini kerana keadaan cuaca yang lebih panas akan menyebabkan vektor nyamuk untuk hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, kesan pemanasan global turut meningkatkan kewujudan nyamuk di kawasan baharu, sekali gus menambah potensi epidemik sebanyak 31 hingga 47 peratus untuk denggi dan antara 12 hingga 27 peratus untuk malaria.

"Walaupun kajian mengaitkan faktor cuaca dengan denggi terbatas di Malaysia, tetapi secara umumnya perubahan pantas dalam suhu sekeliling dan kelembapan boleh mempengaruhi vektor nyamuk.

"Beberapa kajian menunjukkan hubungan positif antara hujan yang turun dan denggi, masa hujan turun juga penting, sama dengan jumlah hujan yang turun," katanya.

Selain demam, penyakit lain seperti wabak taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan peningkatan suhu. Penyakit-penyakit ini sering menular ketika musim panas.

Di samping itu, jerebu yang menyebabkan pencemaran udara boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selsema. Semasa jerebu teruk melanda rantau ini pada 1997-1998, dilaporkan hampir 20 juta orang mengalami pernafasan teruk.





* Pencemaran udara

Semasa kejadian El Nino pada 1997-1998, cuaca panas dan kering yang melampau telah menyebabkan kebakaran hutan hampir 10 juta hektar di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Puluhan ribu rakyat negara itu terpaksa menerima rawatan dan beratus-ratus kematian dilaporkan di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada kemerosotan kualiti udara.

Kebakaran hutan di Indonesia turut mengundang pencemaran udara di negara-negara berjiran terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand. Dalam keadaan musim kering dengan taburan hujan yang sedikit atau tidak ada langsung, pencemaran tersebut akan menjadi lebih meruncing sehingga menyumbang kepada masalah jerebu.

Jerebu yang berlaku pada 1997-1998 di negara ini dianggap yang terburuk dalam sejarah sehingga hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap. Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di sesetengah kawasan turut mencapai paras sangat berbahaya pada masa itu sehingga Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa mengisytiharkan darurat. Dalam tempoh Ogos hingga Oktober 1997 sahaja, jerebu menyebabkan kerugian sebanyak RM802 juta kepada Malaysia.




* Krisis bekalan air

Musim kering akan menyebabkan penyusutan di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam disebabkan kadar sejatan yang tinggi dan tidak ada hujan. Pengalaman semasa El Nino melanda pada 1997-1998 sudah cukup memeritkan terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berhadapan dengan catuan air selama enam bulan.

Pada tahun ini, penduduk di Lembah Klang termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa berhadapan catuan air berjadual secara berperingkat-peringkat kira-kira dua bulan bermula Mac hingga 30 April lalu akibat kemorosotan paras air di empangan-empangan utama. Beberapa kawasan lain di Negeri Sembilan dan Johor turut mengalami masalah serupa akibat musim panas.

Baru-baru ini pun, susulan cuaca panas yang sedang dialami, permintaan bekalan air di Lembah Klang telah meningkat sehingga menyebabkan beberapa kolam mengalami penurunan paras air yang ketara. Keadaan itu mengakibatkan gangguan bekalan air di sekitar Hulu Langat dan Kuala Lumpur pada 17 dan 19 Jun lalu. 

Pada masa sama, rizab margin air terawat yang mampu dihasilkan oleh loji-loji rawatan air di Lembah Klang adalah kurang daripada dua peratus.

Bayangkan sekiranya El Nino yang kuat melanda sekarang dengan keadaan paras air di empangan dan loji rawatan yang rendah, negara berkemungkinan mengalami krisis air yang lebih teruk berbanding 1997-1998.

Pada 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi 2,553 juta liter sehari tetapi kali ini, sebanyak 7.1 juta pengguna berkongsi 4,367 juta liter sehari.

Bagi menghadapi El Nino, semua rakyat perlu bekerjasama dengan menjimatkan penggunaan air dan tidak menggunakan air untuk aktiviti yang tidak perlu. Mereka juga perlu bersedia dengan membuat tadahan air bermula dari sekarang.

 



* Aktiviti Luar dan ekonomi

Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan secara tidak langsung memberikan kesan kepada ekonomi. Ketika kejadian El Nino pada 1997-1998, negara-negara di Asia Tenggara dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM34 bilion.

Misalnya, jerebu serius yang berpunca daripada El Nino menyebabkan kualiti udara tidak sihat dan jarak penglihatan terhad. Kesannya, aktiviti luar perlu dikurangkan, sekolah ditutup, kedatangan pelancong terjejas serta sektor pengangkutan termasuk penerbangan tergendala. Secara tidak langsung, perniagaan turut menerima impak.

Dari segi pertanian pula, keadaan kemarau akan menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan serta sayur-sayuran yang amat bergantung pada air. Malah, industri kelapa sawit di rantau ini yang merupakan pengeluar terbesar di dunia boleh terjejas sehingga 15 peratus sekiranya El Nino berpanjangan. Industri berkaitan seperti bahan api bio, makanan, kosmetik sabun yang menggunakan minyak kelapa sawit dalam proses pengeluaran turut akan menerima tempias.

El Nino juga boleh menjejaskan ekosistem marin dengan memusnahkan plankton yang merupakan makanan utama kepada hidupan laut. Ini sudah tentu akan menjejaskan industri perikanan dan sumber protein utama kita. Apabila hasil berkurangan, sudah tentu harga ikan di pasaran juga meningkat.

Selain itu, industri yang memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk seperti makanan dan minuman juga bakal menerima kesan besar sekiranya berlaku catuan bekalan air kerana kemarau berpanjangan.

Begitu juga dengan projek pembangunan akan menerima kesan sekiranya berlaku krisis air. Ini kerana industri pembinaan amat bergantung pada bekalan air yang stabil. Mengikut laporan, sebanyak 785 projek yang dikemukakan kepada kerajaan gagal diluluskan berikutan krisis bekalan air yang berlaku di sekitar Lembah Klang sehingga Mac lalu.

"Sekiranya masalah bekalan air tidak diatasi, ia akan menjejaskan industri kerana orang luar tidak berani datang melabur kerana salah satu keperluan asas tidak mencukupi," kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sumber : Utusan Online


Tiada ulasan:

Catat Ulasan