30 Jun 2014

Artikel Menarik (Jun 2014) - Perhebat Amalan Konsep 3R




OLEH Nurul Halawati Azhari


Menjelang tahun 2020, sasaran kutipan sampah dan sisa pepejal di seluruh negara ditetapkan 33,000 tan sehari.

Dengan jumlah kutipan pada tahun lepas sudahpun mencapai 30,000 tan sehari sedangkan sasarannya 20,000 tan sehari, tidak mustahil jumlah lambakan sampah oleh rakyat Malaysia untuk tahun 2020 akan melebihi jumlah sasaran itu.

Persoalannya, adakah penambahan jumlah sampah akan menyebabkan kita terpaksa hidup berkongsi tanah dengan timbunan sampah sarap yang kita sendiri hasilkan? Apa pula tindakannya jika mahu mengurangkan masalah ini?

Menurut Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) Mohd. Zain Hassan, tugas dan tanggungjawab mengurangkan jumlah sampah itu tidak hanya tergalas di bahu agensi dan syarikat yang terbabit menguruskan sampah dan bahan buangan sahaja. Tetapi akan lebih berjaya apabila dimulakan dari rumah.

Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan kerajaan bagi memastikan negara mempunyai persekitaran yang bersih dan sihat, Alam Flora memainkan peranan yang aktif dalam memberi maklumat dan pengetahuan berkaitan kepada orang awam.

Mohd Zain menyentuh mengenai kempen-kempen 3R (Reduce, Reuse, Recyle) yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak lebih sedekad yang lepas.

“Konsep 3R sebenarnya telah melalui satu tempoh yang cukup lama sejak ia dilancarkan pada 1996. Kemudian pada tahun 2000 sekali lagi kempen mengenainya dilancarkan oleh kerajaan. Tetapi hingga ke hari ini sambutannya masih tidak menyeluruh," jelas Mohd. Zain.

Ekoran banyaknya kempen mengenai 3R dijalankan secara berterusan, beliau berpendapat rakyat Malaysia sebenarnya telah ada pengetahuan tentang 3R iaitu kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

“Cuma sikap tidak peduli atau mengharap kepada pihak lain untuk melakukannya menyebabkan sampah akan terus bertambah. Ia akan terus bertambah selagi rakyat Malaysia tidak berubah sikap," katanya.

Menurut Mohd Zain lagi, terbaharu Alam Flora dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPA) secara agresifnya telah bekerjasama untuk melaksanakan program-program kesedaran kepada orang ramai mengenai memerangi sisa atau sampah haram dan program Bank Kitar semula di sekolah-sekolah di sekitar Putrajaya, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Program sebegini dimulakan di sekolah-sekolah kerana kita percaya kesedaran dan pengetahuan di peringkat awal akan membawa kesan positif untuk masa hadapan," katanya.

Program-program 3R terbahagi kepada 3 bahagian utama iaitu untuk komuniti, waste wise dan di sekolah.
Di Putrajaya misalnya, program komunitinya melibatkan Pusat Kitar Semula, Mobile Recycling Centre, Kerbside dan program di blok-blok pangsapuri.

Bagi waste wise program, ia dijalankan di pejabat-pejabat termasuk di kementerian, hotel dan kawasan komersial.
Kutipan barangan kitar semula di bawah waste wise adalah secara on-call system . Begitu juga di sekolah-sekolah, program KITS (Kitar Semula Sekolah) memberi tumpuan dengan menjalankan aktiviti di tadika, sekolah rendah serta menengah."

 
 
 
Bantu Kurangkan Kos Sara Hidup

Ramai yang tidak mengetahui barangan kitar semula dalam pasaran tempatan tidak mencukupi sehingga pengusaha terpaksa mengimport bahan buangan tersebut.

Inilah masanya 3R dapat membantu isi rumah mengurangkan kos sara hidup mereka.

Mohd. Zain berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengurangkan bahan-bahan yang hendak dibuang. Antaranya ialah dengan berjimat cermat dan membeli barang ketika perlu sahaja.

Kemudian, isi rumah juga boleh menggunakan semula barangan tertentu atau diberikan kepada pihak lain supaya barang tersebut boleh diguna semula.

Peringkat paling sukar dan leceh ialah kitar semula yang selalunya dilaksanakan oleh industri. Tugas pengguna adalah untuk membantu mengumpul dan mengasingkan barang-barang itu sama ada dijual sendiri atau dijual kepada pusat-pusat kitar semula seperti yang ada di Putrajaya.

Secara tidak langsung amalan-amalan itu dapat mengurangkan kos sara hidup dan menambah pendapatan.

Syarikat ini mengambil contoh negara jiran yang berjaya dalam program 3R mereka. Ia sebagai penanda aras bagi menilai tahap pencapaiannya.

Satu daripadanya ialah Sistem Kitaran Semula Wongpanit di Thailand. Ia satu perniagaan kitar semula yang inovatif dan berjaya dilaksanakan sekian lama di Thailand.

Mohd. Zain turut mengambil contoh Surabaya, Indonesia sebagai kawasan bandar yang berjaya dalam amalan 3R sehingga.

Selain amalan 3R sehingga sampah hanya diambil dua kali sahaja dalam sebulan, mereka turut menjalankan amalan seperti pengkomposan, penggunaan semula air dan kitar semula.
Kejayaan mereka disebabkan adanya sokongan padu dan kerjasama yang baik dalam kalangan penduduk Surabaya," jelas Mohd. Zain.



 
 
Putrajaya Contoh Terbaik

Beliau berpendapat, rakyat Malaysia bukannya tidak sedar kepentingan kitar semula, tetapi amalannya masih belum menyeluruh.

“Ada yang tahu dan sedar, akan meneruskan amalan kitar semula. Tetapi ada juga yang tahu dan sedar tetapi tidak diamalkan," katanya.

Memberikan Putrajaya sebagai contoh terbaik amalan 3R, beliau berpendapat aktiviti itu sangat aktif dijalankan di kawasan berkenaan.

Malah amalan itu menjadi sebahagian daripada amalan mereka dalam usaha menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Hijau.

Kewujudan kemudahan untuk menghantar barangan kitar semula di Pusat Kitar Semula Presint 9 telah memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.

“Mereka yang mengamalkan 3R akan menganggap barang-barang yang boleh dikitar semula sangat berharga malah boleh dianggap sebagai harta.

Ia bernilai kerana setiap kali dibawa ke pusat kitar semula, barangan itu akan ditimbang dan dibayar mengikut harga per kilogram.

“Jadi tunggu apa lagi. Jika boleh tolong maklumkan anak-anak dan ahli keluarga supaya melaksanakan 3R iaitu beli bila perlu (reduce), beri kepada yang perlu (reuse) dan ada yang masih memerlukan (recycle) kerana barang itu berharga," saran beliau. - Bernama

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan