16 Julai 2013

Artikel Menarik - Fadhilat Mengerjakan Solat Terawih Di Setiap Malam Ramadhan

 



Solat Tarawih adalah solat yang dikerjakan pada malam-malam dalam bulan Ramadhan al-Mubarak dan waktu mengerjakannya adalah selepas solat Isyak dan sebelum solat Witir. Solat Tarawih adalah salah satu daripada ibadah-ibadah dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat dan paling besar kesannya dihati kaum Muslimin. Ia juga mempunyai darjat dan keutamaan yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam-malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan akan pahala deripada Allah (s.w.t.), nescaya dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni oleh Allah (s.w.t.)."    (Riwayat al-Bukhari)

Maksud daripada Hadith tersebut ialah bahawa setiap orang yang menyemarakkan malam-malam bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, zikir dan membaca Al-Quran dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharap akan pahalanya, maka Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa silam, selama mana dosa-dosa itu adalah dosa-dosa kecil. Adapun mengenai dosa-dosa besar, maka wajib melalui jalan Taubat Nasuha. Demikianlah pendapat para Ulama Fekah.

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan :
Malam 1 – Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam 2 – Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam 3 – Berseru Malaikat di bawah ‘Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4 – Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam 5 – Allah s.w.t. kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah(Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.


Malam 6 – Allah s.w.t. kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Mamur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.
Malam 7 – Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.
Malam 8 – Allah s.w.t. mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim a.s
Malam 9 – Allah s.w.t. kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Malam 10 – Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11 – Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.
Malam 12 – Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13 – Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14 – Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.
Malam 15 – Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16 – Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.
Malam 17 – Allah s.w.t. kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam 18 – Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).
Malam 19 – Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam 20 – Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21 – Allah s.w.t. binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.
Malam 22 – Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huruhara di Padang Masyar).
Malam 23 – Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.
Malam 24 – Allah s.w.t. buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 – Allah s.w.t. angkatkan daripada siksa kubur.
Malam 26 – Allah s.w.t. kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.
Malam 27 – Allah s.w.t. kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratul Mustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28 – Allah s.w.t  kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.
Malam 29 – Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.
Malam 30 – Allah s.w.t. beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
“Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar.”

 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan